Isnin, 19 Jun 2017

Yakin tidak bersalah, Zakaria mahu dapatkan khidmat Shafee Abdullah

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), Datuk Zakaria Arshad yakin dirinya tidak bersalah dalam kemelut yang membelenggu syarikat itu.
 
Zakaria dalam pada itu akan mendapatkan khidmat peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah untuk mempertahankan dirinya.
 
FGV kini berdepan dengan kemelut yang menyaksikan empat pegawai kanan agensi perladangan itu, termasuk Zakaria, diarahkan bercuti berkuat kuasa serta merta, dua minggu lalu.
 
Arahan bercuti itu dikatakan bagi memberi laluan audit dalaman dijalankan bagi menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.
 
“Saya akan mematuhi cadangan yang akan dikeluarkan oleh Datuk Seri Idris Jala. Berkaitan dengan siasatan dalam yang diusahakan oleh Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, saya yakin saya akan dibuktikan tidak bersalah.
 
“Saya telah menghubungi Muhammad Shafee untuk mewakili saya bagi berdepan perkara ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.
 
Zakaria dalam pada itu mengucapkan tahniah atas lantikan Tan Sri Sulaiman Mahboob sebagai pemangku Pengerusi FGV sebagaimana diumumkan pada hari ini.
 
Ia berikutan peletakan jawatan Tan Sri Isa Samad yang berkuatkuasa hari ini bagi 'memberi tumpuan kepada urusan peribadi'

Tiada ulasan: