Ahad, 25 Jun 2017

Siasat kerugian BNM, apa muslihat Najib?

Berita Daily Staff

Setelah 25 tahun berlalu dan setelah Dr Mahathir mengkritik Najib dalam isu penyelewengan 1MDB, barulah beliau mahu supaya kerugian Bank Negara disiasat, kata Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Apa muslihat Najib Razak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia dalam urusniaga matawang asing lebih 25 tahun yang lalu?

Demikian soal Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin yang turut menegaskan keputusan kabinet untuk RCI untuk menyiasat kerugian Forex pada zaman bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sesuatu yang aneh.

“Kenapa baru sekarang suruhanjaya ini hendak ditubuhkan? Jika benar Najib hendak mencari kebenaran dalam isu kerugian urusniaga ini, beliau sepatutnya telah bersuara mengenainya ketika beliau berada di dalam kabinet Dr Mahathir 25 tahun yang lalu. Jika tidak di dalam kabinet, beliau boleh menyuarakannya di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang mana pada ketika itu beliau adalah Naib Presiden.”

“Setelah 25 tahun berlalu dan setelah Dr Mahathir mengkritik Najib dalam isu penyelewengan 1MDB, barulah beliau mahu supaya kerugian Bank Negara disiasat. Bukankah kes ini telah disiasat dan individu-individu terbabit telah lama meletakkan jawatan,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, beliau tidak ingat Najib pernah menyuarakan hal ini dan menegur Mahathir dalam mana-mana mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada ketika itu.

“Begitu juga ketika saya berada di dalam kabinet Mahathir bersama-sama beliau pada ketika itu, saya tidak pernah ingat Najib membangkitkan perkara ini dalam mana-mana mesyuarat kabinet,” jelas bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Tegas beliau, keputusan kabinet menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini tidak lain merupakan satu percubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada skandal penyelewengan 1MDB yang sedang disiasat di lebih lima buah negara dan diambil tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

“Najib tidak mampu menjawab pelbagai persoalan yang melingkari 1MDB terutama yang melibatkan pembabitan dirinya sendiri dan ahli keluarganya secara langsung dalam menyeleweng wang 1MDB.”

Beliau turut menyarankan bahawa keperluan yang amat mendesak pada ketika ini ialah untuk menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja menyiasat penyelewengan 1MDB.

“Suruhanjaya ini perlu menyiasat sejauh manakah pembabitan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dalam membuat keputusan-keputusan mengenai kewangan 1MDB sepertimana yang termaktub di dalam Fasal 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB.”

“Bagaimana wang 1MDB sebanyak RM2.6 bilion dan wang SRC International sebanyak RM42 juta boleh masuk ke akaun peribadi Najib? Untuk apakah wang ini dibelanjakan dan siapakah penerima-penerima wang ini? Bagaimana Jho Low, Riza Aziz, Tarek Obaid dan beberapa orang pegawai 1MDB boleh mengumpulkan wang dan aset bernilai berbilion ringgit hasil urusniaga 1MDB?

Apakah hubungan Jho Low dan Najib? Apa sebenarnya kandungan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB sehinggakan laporan ini diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi?” soal Muhyiddin lagi.

“Najib tidak perlu bersikap ‘double-standard’ dalam kedua-kedua kes ini. Jika dia benar-benar mahu mencari kebenaran, maka sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat penyelewengan 1MDB perlu ditubuhkan segera,” tegas beliau sambil menambah siasatan ke atas IMDB bukan hanya berkisar tentang pembabitan Najib, tetapi ia juga merangkumi isu tadbir urus yang amat lemah sehingga menyebabkan kehilangan wang rakyat yang cukup besar melebihi RM50 bilion, kesan pecah amanah yang amat teruk dan nasib buruk yang menimpa rakyat.

Tiada ulasan: