Khamis, 22 Jun 2017

Siapa Sebenarnya Bersalah Dalam Kemelut FGV?

Khairul Amir

FGV


SIAPA sebenarnya yang bersalah?

Mungkin ini persoalan yang cukup besar dan jawapan dinantikan oleh seluruh rakyat terutama warga Felda dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Kini, lembaga siasatan bebas mengenai kemelut FGV yang diketuai Datuk Seri Idris Jala dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melakukan siasatan terperinci.

Kerajaan pada 19 Jun mengambil langkah drastik dengan mengumumkan pelantikan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob sebagai pemangku Pengerusi FGV berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu diputuskan selepas Pengerusi FHV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad melepaskan jawatannya.

Tetapi Mohd. Isa tidak terus berehat sebaliknya dilantik pula sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan itu dibuat sebagai menghargai peranan Mohd. Isa yang berterusan kepada negara.

Wajarkah Mohd. Isa dilantik ke jawatan baharu itu sewaktu siasatan mengenai FGV masih dijalankan?

FGV di dalam kenyataan di Bursa Malaysia menjelaskan, peletakan jawatan Mohd. Isa bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada urusan peribadinya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, tindakan dalaman akan diambil untuk menentukan proses keadilan melalui lembaga siasatan bebas terhadap apa yang telah berlaku ke atas empat pengurusan kanan FGV termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad.

Kata Najib, ini dikehendaki oleh prinsip pentadbiran syarikat yang disenaraikan dalam syarikat awam.

Tegasnya, itu perkara biasa dan apabila ada lembaga siasatan, ia bukan bermakna dia bersalah tetapi proses itu perlu dilakukan dan selesai nanti, pihak Lembaga Pengarah FGV akan membuat keputusan seadilnya dan sebaik mungkin.

Perdana Menteri turut menjelaskan, keputusan melantik Sulaiman sebagai pemangku pengerusi adalah sementara sehingga satu keputusan akhir dibuat.

Sulaiman, 67tahun, yang merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Telekom Malaysia (TM), Pengerusi Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Jambatan Kedua Sdn. Bhd.

Beliau juga tokoh yang berpengalaman luas dalam kerajaan kerana telah berkhidmat selama 38 tahun dalam pelbagai jawatan termasuk Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal.

Apa yang diharapkan, pelantikan Sulaiman dapat menambah baik tadbir urus korporat syarikat konglomerat itu.

Umum mengetahui, Sulaiman bukan pemain baharu dalam industri itu kerana pernah memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah Felda selain mempunyai pengalaman dan pemahaman luas mengenai Felda.

Perubahan jawatan Pengerusi FGV itu dilihat bertepatan dengan kehendak majoriti warga peneroka di peringkat akar umbi.

Perlu diakui pergeseran terbuka di peringkat pengurusan tertinggi FGV telah menjejaskan reputasi dan imej syarikat itu.

Kini warga Felda menyandarkan harapan kepada Sulaiman yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang ekonomi dan pentadbiran kerajaan untuk mengembalikan kedudukan FGV dalam perniagaan berprestasi tinggi.

Menyorot kembali kemelut FGV, ianya bermula pada 13 Mei apabila Mohd. Isa meminta Zakaria meletak Jawatan atas dakwaan langgar kod tadbir urus.

Pada 5 Jun, Zakaria menegaskan beliau tidak akan letak jawatan.

6 Jun, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Zakaria dan tiga individu lain termasuk Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd. Talha bercuti.

Zakaria mahu SPRM siasat operasi FGV termasuk sebelum beliau menjadi CEO.

7 Jun, Zakaria memberi keterangan kepada SPRM dan Idris dilantik mengetuai lembaga siasatan bebas mengenai kemelut FGV.

Pada 8 Jun, SPRM menyerbu ibu pejabat FGV dan mengambil empat kotak dokumen dan dua beg bimbit.

13 Jun, Lembaga Pengarah FGV menyerahkan surat tunjuk sebab kepada Zakaria dan Ahmad Tifli berhubung hutang tertunggak Safitex dengan Delima Oil Products Sdn. Bhd.

19 Jun, Sulaiman dilantik Pemangku Pengerusi FGV serta merta.

Sewaktu kerajaan mengumumkan pelantikan Sulaiman, laporan siasatan bebas mengenai kemelut FGV mengemukakan empat penemuan utama untuk badan bebas tersebut men jalankan siasatan selanjutnya.

Apakah empat penemuan itu?

*Pertama, terdapat fakta yang mencukupi dan asas munasabah untuk FGV melaksanakan prosiding tatatertib terhadap Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan dua pegawai pengurusan kanan FGV yang lain.

Perkara tersebut berkaitan dakwaan pelanggaran prosedur dalam anak syarikat FGV iaitu Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOP). Namun tiada seorang didapati bersalah terhadap sebarang kesalahan setakat ini kecuali dibuktikan melalui siasatan dalaman.

*Kedua, laporan itu menyarankan FGV menubuhkan sebuah pasukan bagi peningkatan besar tadbir urus dan kawalan perniagaan di peringkat kumpulan dan subsidiari dengan segera.

Langkah itu untuk memastikan syarikat mengenal pasti amalan, dasar dan prosedur terbaik yang boleh membantu FGV dari segi penambahbaikan tadbir urus korporat.

*Ketiga, FGV dan Felda perlu melaksanakan kajian semula perniagaan secara menyeluruh untuk menjadikan kedua duanya berada di platform sebagai syarikat yang berjaya masa kini dan masa depan.

Kajian semula itu bermula akhir tahun lalu, FGV dan Felda perlu meneruskan dan menyele saikannya dengan segera.

Platform untuk mengekalkan kejayaan itu termasuk melalui kepemimpinan yang terbaik dan berstrategi dalam perniagaan dan operasi model yang baik.

*Keempat, laporan itu berkata, kerajaan memutuskan melantik Mohd. Isa sebagai pemangku SPAD dan Sulaiman sebagai pemangku Pengerusi FGV.

Ia bertujuan menegakkan integriti, semangat kesaksamaan bagi siasatan yang sedang berjalan dan tadbir urus korporat FGV dan DOP.

Laporan bebas dan keputusan yang dibuat kerajaan bersama FGV itu tiada kaitan dengan siasatan SPRM.

Dalam laporan itu, dinyatakan tiada seorang didapati bersalah terhadap sebarang kesalahan setakat ini kecuali dibuktikan melalui siasatan dalaman.

Siapa sebenarnya yang bersalah sehingga berlakunya kemelut tadbir urusan dalam FGV?

Lembaga siasatan bebas mengenai kemelut FGV perlu melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti siapa sebenarnya yang bersalah.

Apa diharapkan, tiada perlindungan atau kemaafan diberikan kepada individu yang melakukan kesalahan itu.

Kesalahan tadbir urus yang berlaku bukan sahaja menyebabkan FGV dilanda kemelut malah warga peneroka Felda turut menerima kesannya.

Begitu juga siasatan SPRM.

Pastikan pesalah terlibat dibawa ke muda pengadilan. Jangan ada sesiapa pun yang akan terlepas.
Apa episod seterusnya berhubung kemelut yang melanda FGV?

Rakyat dan warga peneroka Felda menantinya dengan penuh sabar.


Tiada ulasan: