Rabu, 21 Jun 2017

Selepas Isa, SPRM yakin kertas siasatan selesai

Muhammad Azizul Osman
SPRM


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin dapat melengkapkan siasatan berhubung Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad setelah selesai mendapatkan keterangan daripada individu terakhir, Tan Sri Isa Samad selaku bekas Pengerusi FGV, hari ini.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali untuk tindakan lanjut.

“SPRM akan meneliti keterangan-keterangan yang diberikan oleh Isa serta isterinya dan siasatan SPRM tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa,” kata badan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Isa dan isterinya Puan Sri Bibi Shaliza Mohd Khalid hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 9.40 pagi.

Sesi mengambil keterangan terhadap kedua-dua mereka mengambil masa lebih empat jam.

“Sepanjang proses tersebut, kedua-duanya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM,” demikian menurut kenyataan SPRM.

Isa dan Bibi dipanggil memberi keterangan kepada SPRM dipercayai bagi membantu siasatan terhadap FGV.

Kemelut FGV mula mendapat perhatian apabila Isa dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad serta tiga pegawai pengurusan kanan FGV bercuti bermula 6 Jun lalu.

Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: