Rabu, 21 Jun 2017

Remaja bawah 21 tahun yang miliki rokok akan didenda RM1,000

MALAYSIA GAZETTE


Selain meningkatkan umur larangan merokok kepada 21 tahun, Kementerian Kesihatan juga akan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan denda RM1,000 kepada remaja bawah umur yang memiliki tembakau.

PETALING JAYA – Selain meningkatkan umur larangan merokok kepada 21 tahun, Kementerian Kesihatan juga akan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan denda RM1,000 kepada remaja bawah umur yang memiliki tembakau.

Sinchew Daily melaporkan, keadaan itu bermakna remaja berkenaan yang menghisap, mengunyah, menyimpan atau membeli tembakau akan dikenakan tindakan selepas pindaan undang-undang dilakukan.

Usaha menaikkan umur daripada 18 tahun kepada 21 tahun adalah bertujuan mengawal ketagihan merokok terutamanya kerana kajian mendapati 90 peratus perokok menghisap rokok seawal 19 tahun atau sebelumnya.

Selain itu, 100 peratus perokok mula terdedah kepada tabiat buruk itu sebelum berumur 26 tahun.

Kajian pada 2016 juga menunjukkan bahawa satu pertiga remaja yang  merokok berjinak dengan tabiat buruk itu seawal 12 atau 13 tahun.

Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Chong Chee Kheong berkata, semakin banyak negara menaikkan umur merokok daripada 18 tahun kepada 21 tahun.

Katanya, negara yang mengambil pendekatan itu termasuk Singapura, Kuwait, Sri Lanka dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Menurutnya, kajian di Amerika Syarikat mendapati bahawa usaha menaikkan larangan merokok kepada 21 tahun malahan 25 tahun berkesan mengurangkan populasi perokok kerana potensi seseorang untuk merokok akan berkurangan jika dia tidak merokok sebelum 21 tahun.

Ujarnya lagi, penyelidikan menunjukkan bahawa otak remaja masih mengalami pertumbuhan pada umur 18 tahun dan mudah mengalami ketagihan nikotin.

Katanya, tindakan menaikkan umur larangan merokok justeru dapat mengurangkan risiko ketagihan rokok dalam kalangan remaja. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: