Isnin, 26 Jun 2017

PRU14: PAS Masih Dalam Dilema?

Khairul Amir

dilema


SETELAH memutuskan hubungan dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menyertai Pakatan Harapan, PAS kini kembali menyatakan persediaan untuk bekerjasama dengan PKR dan PPBM.

Kerjasama itu jelas PAS adalah bagi menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Umum mengetahui PAS kini telah membentuk blok ketiga, Gagasan Sejahtera setelah membuat keputusan memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah memaklumkan, PAS masih terbuka untuk menjalin kerjasama dengan semua parti termasuk PKR dan PPBM, tetapi bukannya PAN serta DAP.

Pelawaan PAS itu terbuka kepada PKR dan PPBM, jika mereka hendak memutuskan hubungan dengan PAN dan DAP untuk menjatuhkan BN pada PRU-14.

Mohd. Amar menjelaskan, Gagasan Sejahtera yang terdiri daripada PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) sedia berdepan saingan pelbagai penjuru pada PRU-14.

Persoalannya, kenapa PAS masih mengharapkan kerjasama PKR dan PPBM untuk menghadapi PRU-14?

Adakah PAS tidak yakin dengan keupayaan Gagasan Sejahtera untuk berdepan dengan BN dan Pakatan Harapan?

Ternyata PAS masih berada dalam dilema memilih parti untuk bekerjasama menghadapi pilihan raya akan datang.

Adakah PAS masih mengharapkan kerjasama PKR dan PPBM?

Adakah PKR dan PPBM akan bersetuju dengan syarat PAS iaitu dua parti itu perlu memutuskan hubungan dengan PAN dan DAP?

Sudah tentu perkara itu mustahil bagi PKR yang sememangnya akan meneruskan kerjasama dengan DAP.

Bagi PPBM pula, keputusannya terletak kepada Pengerusi parti itu sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, umum mengetahui bagaimana Mahathir cuba berbaik-baik dengan DAP dan Lim Kit Siang.

Tetapi pastinya tidak mustahil kerana Mahathir bila-bila masa sahaja boleh mengubah keputusannya dan membuat pusingan U.

Naib Presiden PKR, Tian Chua dalam reaksinya berkata, parti itu terbuka untuk menjalin kerjasama dengan PAS.

Tetapi mereka akan tetap bekerjasama dengan Amanah dan DAP bagi menghadapi PRU-14.

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub pula memaklumkan, pimpinan PAS kini dilihat tidak lagi konsisten dalam membuat kenyataan.

PAN menganggap PAS kini sebagai ‘flip flop’ kerana keputusan yang dibuat boleh berubah pada bila-bila masa.

Jadi, tidak hairanlah jika PAS mengubah pendirian berhubung kerjasama dengan PKR dan PPBM.

Jelas Salahuddin, sikap tidak berpegang teguh pada pendirian yang tetap, sudah sinonim dengan pimpinan PAS.

Apakah benar, sikap tidak berpegang teguh pada pendirian sudah sinonim dengan pimpinan PAS?

Pada muktamar PAS sebelum ini, mereka memutuskan hubungan dengan DAP. Ia juga berkeras tidak akan bekerjasama dengan parti serpihannya, PAN.

Pada 12 Februari lepas, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menutup pintu kerjasama dengan PPBM kerana tidak mahu bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan PAN.

Pada 11 Mei pula, Majlis Syura Ulama PAS mengambil keputusan menamatkan kerjasama hampir 18 tahun dengan PKR seperti yang diluluskan perwakilan pada Muktamar PAS ke-63 yang diadakan pada 30 April di Kedah.

PAS mendakwa PKR melanggar tiga syarat kerjasama, termasuk gagal menyokong PAS dalam agenda Islam dan menentangnya pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Pakatan Harapan ditubuhkan DAP, PAN dan PKR pada September 2015, dengan PPBM secara rasmi menjadi parti komponen ke-4 pada Mac 2017.

Dalam Gagasan Sejahtera pula, PAS dan Berjasa membawa aliran politik Islam, sementara Ikatan berdasarkan konstitusionalisme.

Pada 15 Mei lepas, PAS mengumumkan hasrat Parti Cinta Malaysia (PCM) untuk menyertai Gagasan Sejahtera yang diasaskan pada 16 Mac 2016.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, PCM perlu tahu hala tuju dan dasar Gagasan Sejahtera terlebih dahulu sebelum menyertainya.

April lalu, bekas ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yakin PAS akan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen, di samping memerintah 5 negeri, pada PRU-14.
Ketika ini, PAS mengekalkan pentadbirannya di Kelantan, yang ditawan sejak 1990.

Adakah hasrat PAS yang dilaungkan untuk menang 40 kerusi dan memerintah 5 negeri pada PRU-14 boleh tercapai?

PAS kini dilihat masih dalam dilema dan seolah-olah tidak yakin dengan Gagasan Sejahtera bagi menghadapi PRU-14.

Adakah PAS akan mengubah keputusan pada saat-saat akhir dan menjalinkan kerjasama dengan PKR dan PPBM?

Atau adakah PAS akan bekerjasama dengan BN bagi menghadapi Pakatan Harapan diketuai DAP?

Jika PAS mengubah pendiriannya, benarlah seperti kata Salahuddin, PAS merupakan parti `flip flop’.
Masa depan PAS sebenarnya masih samar dan tidak boleh dijangka.


Tiada ulasan: