Rabu, 21 Jun 2017

Populariti Najib dan BN terjejas di kubu kuat sendiri

KEADILAN DAILY 

 

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak semakin kurang popular apabila tahap sokongan terhadapnya di Pekan menunjukkan penurunan ketara sehingga hampir 25 peratus, kata badan pengkaji data besar, Invoke.

Penyelaras Invoke, Naib Presiden KEADILAN Rafizi Ramli berkata selain Pekan, analisis organisasi itu mendapati sokongan rakyat kepada BN di 45 daripada 52 kawasan yang mempunyai petempatan Felda menunjukkan penurunan.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, hanya tujuh kerusi parlimen di semenanjung yang mempunyai petempatan Felda mencatatkan peningkatan sokongan kepada BN.

Kerusi itu ialah Teluk Intan,Tanjung Malim dan Bagan Datuk di Perak, Bentong dan Raub (Pahang), Segamat serta Kulai (Johor).

Menurut Rafizi, Pekan berada di tempat kedua paling teruk terjejas apabila mencatatkan penurunan 23.94 peratus berbanding keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-13.

“Walaupun saya tahu Najib tentu tidak akan gembira dengan keputusan ini, tetap inilah realitinya sekarang.

“Apa saja masalah dalam negara, Najib akan dipersalahkan,” katanya pada sidang media hari ini.
Pada PRU ke-13 lalu Najib memenangi kerusi Pekan dengan majoriti 35,613 undi mengalahkan Setiausaha Pengelola KEADILAN Fariz Musa.

Najib memperoleh 51,278 undi.

Kajian itu, kata Rafizi, dibuat dengan andaian berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU ke-14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

“Kesemua kerusi parlimen yang ditandingi calon Melayu Pakatan Harapan menyaksikan penurunan sokongan BN secara mendadak,” katanya.

Penurunan paling ketara menurut Invoke ialah bagi kerusi parlimen Padang Terap, iaitu 24 peratus. Ia diikuti dengan Pekan (23.9 peratus), Sik (23.74 peratus), Kubang Pasu (22.41 peratus) dan Baling (21.95 peratus).

Kata Rafizi, berdasarkan kajian Invoke, antara sebab penurunan sokongan itu adalah akibat kemelut berpanjangan Felda pada akhir 2016.

“Menariknya, penurunan tahap sokongan ini berlaku sebelum kemelut terkini di FGV.

“Invoke belum sempat untuk melakukan analisis pada data-data terbaru tetapi yakin jika pola sentimen pengundi di 53 kerusi parlimen Felda tidak berubah, peluang untuk melakukan perubahan kerajaan persekutuan tidaklah mustahil pada PRU ke-14 ini,” katanya.


Sebelum balik kampung tutup suis peralatan elektrik, tanggal palam – TNB

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengeluarkan beberapa panduan penggunaan elektrik sebelum orang ramai balik ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.
Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat), Kumpulan Komunikasi Korporat TNB. Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata tip itu bersifat praktikal dan bijak tenaga untuk mereka yang pulang ke kampung.
Antara lain pengguna disaran memastikan suis peralatan elektrik yang tidak digunakan ditutup dan palamnya ditanggalkan bagi mencegah pengaliran arus elektrik.
Sekiranya perlu menyalakan lampu rumah bagi mengelak kecurian, pengguna disaran mempertimbang penggunaan alat pengukur masa supaya lampu tidak terpasang selama 24 jam.
TNB juga menekankan pentingnya soket berada dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai berlebihan.
“Pastikan peralatan elektrik yang perlu dipasang berada dalam keadaan baik dan motor di dalam peralatan elektrik bermotor berfungsi dengan lancar,” kata Mohd Aminuddin dalam satu kenyataan.
Syarikat utiliti itu juga menyarankan supaya gulungan wayar sambungan tambahan dibuka sepenuhnya bagi mengelak ia menjadi terlalu panas sewaktu digunakan.
TNB turut menyaran pengguna elektrik menguji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) sebaik-baiknya dilakukan sebulan sekali dengan merujuk laman web TNB di www.tnb.com.my atau di Facebook TNB Careline untuk mengetahui cara menguji PLAB.​​​​​–Bernama
- See more at: http://www.themalaysiantimes.com.my/sebelum-balik-kampung-tutup-suis-peralatan-elektrik-tanggal-palam-tnb/#sthash.DfenV0gv.dpuf

Tiada ulasan: