Khamis, 22 Jun 2017

Perlawanan Bola Sepak Dikurangkan Kepada 60 Minit?

Tareeq

60 minit


Ya, memang benar. Ada kemungkinan sesebuah perlawanan bola sepak di masa hadapan hanya berlangsung selama 60 minit dan bukan lagi 90 minit.

Itu antara salah satu intipati yang di tekankan dalam dokumen Fair Play! yang dikeluarkan Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).

Dulu saya ada menulis mengenai sepakan penalti ABBA , juga disebut dalam dokumen ini yang mungkin akan diuji dalam kejohanan besar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang lain.

Kebanyakan intipati dalam dokumen Fair Play! dipecahkan kepada 3 bahagian : pertukaran undang-undang secara serta-merta, bersedia untuk diuji dan untuk perbincangan.

Dokumen itu menetapkan 3 matlamat: untuk meningkatkan sikap  dan rasa hormat pemain, meningkatkan masa bermain serta meningkatkan keadilan & daya tarikan permainan bola sepak itu sendiri.

Dalam usaha untuk meraih matlamat ini, diusulkan cadangan untuk mengurangkan masa kepada 60 minit yang mana dipecahkan kepada 30 minit untuk setiap separuh masa.

“Ramai orang kecewa kerana daripada 90 minit, sebenarnya hanya 60 minit permainan/aksi  di atas padang,” kata IFAB dalam dokumen itu.

“Strategi yang dicadangkan merupakan langkah-langkah untuk mengelak pemain membuang masa dan meningkatkan permainan itu sendiri.”

Jika cadangan itu dilaksanakan, permainan bola sepak akan lebih mirip kepada pemainan hoki dimana masa akan diberhentikan jika bola keluar.

Malah masa permainan sebenar yang berada di jam tangan pengadil akan dipaparkan di stadium agar dapat dilihat oleh penonton dan staf kejurulatihan.

IFAB juga mungkin akan menukar undang-undang dalam masa terdekat terutama dalam pembahagian masa kecederaan. Pengadil mungkin akan lebih bertegas dengan memberhentikan masa perlawanan untuk situasi berikut:
  • Dari saat penalti diberikan sehingga sepakan dilakukan
  • Dari saat gol dijaringkan sehingga permainan dimulakan kembali
  • Dari saat pengadil mengarahkan pegawai perubatan masuk sehingga permainan dimulakan kembali
  • Dari saat pengadil memberikan kad sehingga permainan dimulakan kembali
  • Dari saat pengadil mengarahkan pertukaran pemain sehingga permainan dimulakan kembali
Antara intipati lain yang mirip kepada hoki adalah; jika seseorang pemain dikasari, dia boleh memberhentikan bola,bangun semula dan meneruskan gelecekan,dengan bola tidak perlu disentuh pemain lain terlebih dahulu.

Dari segi sikap pemain pula, IFAB bercadang untuk meningkatkan tanggungjawab kapten sesebuah pasukan.

Ia bagi mengelak pengadil dikerumuni para pemain jika sesuatu keputusan kontroversi diberikan.

Ia sedang dipraktikkan dalam Piala Konfederasi yang berlangsung ketika ini, dimana hanya kapten pasukan yang dibenar bercakap kepada pengadil perlawanan.

Malah untuk jangka masa panjang, pasukan mungkin dikenakan denda dan dipotong mata jika pemain bertindak serius terhadap pengadil.

Antara perkara-perkara lain yang masih dalam peringkat perbincangan:
  • Sepakan gol dibenarkan ketika bola masih bergerak
  • Penjaga gol yang menangkap hantaran ke belakang akan dikenakan sepakan penalti
  • Pengadil akan meniup wisel menamatkan separuh masa/masa penuh selepas bola keluar dari permainan
  • Pemain tidak boleh melakukan tindakan susulan jika sepakan penalti diselamatkan
  • Pemain yang dikeluarkan untuk digantikan, boleh keluar dari mana-mana bahagian padang
  • Definisi yang paling jelas mengenai ‘handball’
Menurut bekas pengadil Inggeris yang juga pengarah teknikal IFAB, David Elleray, perubahan ini bagus untuk masa depan bola sepak.

“Pengadil, pemain, jurulatih dan peminat amat bersetuju dengan meningkatkan sikap dan hormat kepada semua pihak terutama pegawai perlawanan, meningkatkan masa , keadilan dan tarikan  permainan itu sendiri mestilah dijadikan keutamaan utama,” katanya.

Apa pula pendapat anda?

Anda boleh merujuk dokumen itu dalam link di bawah ini
http://www.play-fair.com/data/Strategy_Paper_EN_150dpi_Doppelseiten.pdf
Sumber Kredit : Hafiz Wahid @ Stadium Astro

Tiada ulasan: