Isnin, 19 Jun 2017

Penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum tidak berbahaya - KKM

astro awani
 
Penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum tidak berbahaya - KKM
Pemantauan KKM ke atas 202 sampel pelbagai tepung di pasaran dari tahun 2014 menunjukkan semua tepung itu mematuhi peraturan yang ditetapkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa penggunaan peluntur benzoil peroksida di dalam tepung gandum dan makanan adalah selamat dan dibenarkan mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

Malah, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemantauan KKM ke atas 202 sampel pelbagai tepung di pasaran dari tahun 2014 menunjukkan semua tepung itu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Beliau menjelaskan bahawa bahan itu juga telah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan oleh badan penilai antarabangsa iaitu Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA).
"Justeru Codex Alimentarius Commission (CAC) iaitu badan antarabangsa yang ditubuhkan di bawah JECFA telah membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video yang ditularkan melalui media sosial mengenai dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bahawa pengunaan bahan peluntur itu di dalam tepung gandum boleh menjejaskan kesihatan.

Dr Noor Hisham berkata penambahan benzoil peroksida di dalam tepung gandum setakat ini dibenarkan di negara-negara lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat, manakala Australia dan New Zealand Food Standards Code membenarkan ia digunakan dalam semua makanan.

Beliau berkata KKM amat peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya terdapat bukti saintifik daripada badan antarabangsa seperti Codex dan JECFA yang membuktikan mana-mana bahan berbahaya kepada kesihatan pengguna.

Tambahnya, orang ramai boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau mengakses laman sesawang http://moh.spad.gov.my atau Facebook www.facebook.com/bkkmhq, sekiranya mempunyai kemusykilan terhadap sebarang isu keselamatan makanan. -- BERNAMA 

Tiada ulasan: