Rabu, 21 Jun 2017

Pemberian bonus melalui BR1P palsu: MB Perak


ISMA WEB
 


IPOH – Mesej tular kononnya kerajaan Perak akan membuat pembayaran Bonus Rakyat 1Perak (BR1P) yang didakwa boleh dipohon sehingga 24 Jun ini, palsu.

Perkara itu dinafikan sendiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang menyifatkan ia sebagai permainan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, mesej berkenaan hampir sama dengan khabar angin yang pernah tular beberapa bulan sebelum ini.

“Kalau kita lihat mesej yang menjadi viral itu, tidak banyak beza dengan apa yang ada sebelum ini, ramai juga yang menghubungi saya dan bertanya betulkah kerajaan negeri akan beri bonus. 
 
“Ini sebenarnya adalah permainan pihak yang tidak bertanggungjawab dan rakyat seharusnya tidak mempercayai penyebaran berita palsu itu yang disebarkan melalui media sosial,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dan terpengaruh dengan mesej tular berkenaan.

Sejak seminggu lalu, mesej mengenai pemberian bonus itu mula tular di aplikasi Whatsapp dan media sosial.

Menurut mesej itu, bonus sebanyak RM750 akan diberikan kepada rakyat Perak berumur 16 hingga 55 tahun sahaja, dengan nombor kad pengenalan 08.

Ia turut meminta orang ramai membuat permohonan menerusi pautan yang disertakan sehingga 24 Jun ini.


Tiada ulasan: