Khamis, 29 Jun 2017

Pembantu Hadi kecam portal berita

MALAYSIAKINI


Setiausaha Politik Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyarankan penyokong PAS menganggap berita disiarkan portal The Malaysian Insight (TMI) sebagai "serong penuh pembohongan".

Dalam kenyataan dibuat melalui akaun Facebook Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan begitu perlu diambil bagi mengelakkan mereka "diperbodohkan sampai bila-bila".

Ahmad Samsudi juga mendakwa aspek etika adalah "perkara terakhir" yang diamalkan oleh portal berkenaan.

Tanpa menyebut secara khusus, Ahmad Samsuri dipercayai merujuk kepada laporan disiarkan TMI mengenai spekulasi hubungan antara Abdul Hadi dengan timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam rencana pada 27 Jun lalu penulisnya membayangkan wujud masalah dalaman PAS apabila Tuan Ibrahim melantik seorang tokoh veteran parti itu, Datuk Mustafa Ali, mengetuai suatu lembaga penasihat.

Mustafa yang pernah dilantik ke pelbagai jawatan penting dalam PAS diketepikan Abdul Hadi semasa menyusun semula jatawankuasa parti berkenaan baru-baru ini.

Bagaimanapun PAS berkata Mustafa sendiri meminta untuk berundur daripada jawatan penting parti.

Kata Tuan Ibrahim Mustafa mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi dan menyatakan hasrat tersebut sebelum pemilihan berlangsung.

“Cikgu Pa minta supaya kalau boleh diberi laluan kepada tokoh baru kerana dia sudah lama dan pada pandangan beliau juga, sudah sampai masanya barisan pelapis diangkat," katanya pada awal Mei lalu.

Selain Mustafa, turut menarik perhatian ramai ialah kedudukan seorang daripada Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad yang tidak lagi dilantik sebagai pesuruhjaya.

Iskandar yang juga exco kanan di Selangor digantikan oleh Sallehen Mukhyi.

Untuk rekod, Tuan Ibrahim kini memangku tugas presiden PAS sementara Abdul Hadi bercuti selepas menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara.

Ahmad Samsuri bertanya, mengapa ada orang sentiasa mudah ditipu dengan "berita jahat" dan "serong" yang disiarkan.

"Ianya boleh menjadi mudah sahaja selepas ini sekiranya kita anggap bahawa apa sahaja yang dilaporkan oleh portal ini, kita mesti anggap semuanya berita karut, kecuali mereka membawa bukti yang jelas dalam maklumatnya.

"Jika tidak, kita akan diperbodohkan oleh portal sebegini sampai bila-bila kerana etika adalah perkara terakhir dalam senarai mereka," katanya.


Tiada ulasan: