Ahad, 18 Jun 2017

PAS sedia runding PKR hadapi BN jika...

SALMAH MAT HUSAIN Foto SYAFIQ ROSLI

 
BELUM pun menang dalam pilihan raya, namun Pakatan Harapan kini dilanda ribut menentukan siapa yang layak dilantik sebagai perdana menteri.
 
Ekoran polemik yang berlanjutan itu menyebabkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan tidak akan menawarkan diri sebagai calon perdana menteri.
 
Mengulas isu tersebut Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sebelum ini PAS mengajak PKR menyertai Gagasan Sejahtera.
 
Bagaimanapun katanya ketika itu PKR lebih senang dengan Pakatan Harapan.
 
“Namun PAS bersedia untuk bincang semula dengan PKR sekiranya benar ada dakwaan parti itu tawar hati dengan Pakatan Harapan,” katanya di Kota Bharu.
 
Sebuah portal mendakwa PKR enggan menerima cadangan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.
 
Sedangkan menurut portal terbabit DAP, PAN dan PPBM sedia menerima Dr Mahathir mengetuai gabungan tersebut. 
 
Bagaimanapun Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan enggan mengulas lanjut kerana tidak mengetahui kesahihan laporan portal terbabit.
Menurutnya juga PAS sentiasa terbuka berunding dengan mana-mana pihak bagi menjatuhkan kerajaan Umno dan BN.

Kerajaan Kelantan masih mengekalkan lantikan politik pemimpin PKR biarpun Biro Politik PKR mengarahkan mereka meletak jawatan. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: