Sabtu, 17 Jun 2017

PAS Sarawak: Buang masa, bazir duit jika PRK Pujut berlaku

 
Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata mahkamah membuat keputusan yang tepat sekaligus mengelakkan pembaziran wang rakyat.


Jofri-Jaraiee


PETALING JAYA: PAS Sarawak mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching memulihkan kedudukan Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon sebagai keputusan yang tepat sekaligus mengelakkan pembaziran wang rakyat sekiranya pilihan raya kecil diadakan.

“Kita tidak perlu bincang soal PRK dan fokus untuk menghadapi pilihan raya umum. Sekiranya PRK dilakukan ia akan membazir duit rakyat yang akan menelan belanja jutaan ringgit. Buang masa,” katanya kepada FMT.

Pagi tadi kedudukan Ting sebagai Adun Pujut dipulihkan selepas Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menyebelahi pihaknya dalam saman mencabar pelucutannya bulan lepas terhadap Dewan Undangan Negeri Sarawak kerana memiliki kerakyatan Australia.

Pada 12 Mei lalu, kelayakan Ting dilucutkan di bawah Perkara 17(1)(g) perlembagaan negeri kerana secara rela memperoleh kerakyatan negara lain.

Mahkamah memutuskan dewan undangan negeri tiada kuasa untuk bertindak ke atas keputusan pilihan raya kerana kuasa itu terletak pada mahkamah pilihan raya.

Jofri bagaimanapun berkata isu sama boleh dielakkan daripada berulang jika bakal calon pilihan raya mengemaskini status kewarganegaraan.

“Apa yang berlaku ini juga sebagai pengajaran kepada wakil rakyat yang bakal bertanding supaya sentiasa mengemaskini status kewarganegaraan sekaligus mengelak isu sama berulang,” katanya.

Tiada ulasan: