Selasa, 27 Jun 2017

OIC perlu adakan mesyuarat tergempar



Wan Azizah
Wan Azizah


SHAH ALAM - Pembangkang menggesa kerajaan untuk mengadakan satu mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi meredakan krisis Saudi-Qatar.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mesyuarat OIC itu nanti akan dapat membincangkan langkah dan usaha perdamaian politik dan diplomatik di antara Qatar dan pihak yang dipimpin Arab Saudi.

"Mesyuarat ini boleh diadakan sama ada di Kuala Lumpur atau Kuwait City.

"Putrajaya juga patut pertimbang menawarkan Malaysia sebagai perantara kepada negara-negara Islam yang sedang bertelingkah ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebagai salah sebuah negara pengasas OIC dan mengambilkira Setiausaha Agung OIC pertama adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman, maka Malaysia perlu menunjukkan kepimpinan yang diperlukan dunia Islam hari ini.

"Pada masa sama, saya menjemput Setiausaha Agung OIC, H.E. Dr Yousef Ahmad Al-Othaimeen, untuk memujuk koalisi pimpinan Arab Saudi untuk pertimbang semula jangkamasa 10 hari yang diberi kepada Qatar untuk memenuhi 13 permintaan koalisi tersebut.

"Adalah diharapkan dengan langkah ini kedua-dua belah pihak boleh mengadakan rundingan dan perbincangan yang lebih membangun dalam usaha mendamaikan keadaan," ujarnya.

Wan Azizah berkata, perkara ini perlu dilakukan segera untuk membela nasb rakyat di sana.

"Pada ketika umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri, amatlah sedih dunia Arab bergolak di dalam pertelingkahan diplomatik yang mungkin mampu menjejas kestabilan politik di rantau tersebut," katanya

Tiada ulasan: