Khamis, 22 Jun 2017

Minyak sawit: 6 MP M'sia lobi Parlimen EU bulan depan

MALAYSIAKINI


Enam anggota Parlimen Malaysia akan berlepas ke Eropah untuk melobi anggota Parlimen Kesatuan Eropah (EU) bagi minyak sawit pada bulan depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata, nama keenam-enam anggota Parlimen berkenaan akan diumumkan kemudian dan mereka dijangka berlepas ke Eropah bulan depan, iaitu semasa Parlimen EU bersidang.
"Delegasi enam anggota Parlimen ini tidak melibatkan menteri dan timbalan menteri.

"Isu (minyak sawit) di EU adalah sangat serius dan kita berusaha bersungguh-sungguh (untuk melobi). Malaysia komited (untuk menangani isu itu) kerana EU merupakan penentu trend," katanya kepada pemberita sebelum majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, hari ini.

Anggota Parlimen Malaysia perlu berada di Eropah semasa persidangan Parlimen EU supaya mereka boleh bertemu dengan seberapa ramai anggota parlimen itu.

Pada sidang media yang sama, Mah turut mengumumkan Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk M.Nagarajan yang akan bersara Jumaat ini akan menerajui kempen Malaysia dalam melobi EU, Amerika Syarikat dan negara lain bagi minyak sawit.

Beliau berkata, Nagarajan akan terus menjadi penasihat kepada kementerian memandangkan beliau berpengalaman luas khususnya dalam mengenepikan resolusi Parlimen Perancis sebanyak tiga kali yang merancang untuk menaikkan cukai import minyak kelapa sawit.

Sementara itu, sebelum ini Parlimen EU mengumumkan resolusi mahu menghalang penggunaan bahan api bio berasaskan kelapa sawit menjelang 2020.

Resolusi itu menyeru EU untuk tidak lagi menggunakan minyak sayur-sayuran, yang turut membabitkan minyak sawit, dalam biodiesel menjelang 2020 atas dakwaan ia dihasilkan melalui pemusnahan hutan.- Bernama


Tiada ulasan: