Rabu, 21 Jun 2017

Mahkamah perintah Putrajaya, Shafee jawab saman Anwar

Mahkamah perintah Putrajaya, Shafee jawab saman Anwar
Muhammad Shafee Abdullah perlu menjawab permohonan Anwar Ibrahim untuk mengetepikan sabitan liwatnya selepas mendakwa beliau menerima RM9.5 juta daripada perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 
 
MAHKAMAH hari ini mengarahkan kerajaan menjawab permohonan Anwar Ibrahim untuk mengenepikan sabitan kes Liwat II berikutan dakwaan Perdana Menteri Najib Razak membayar RM9.5 juta kepada peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah sebagai khidmatnya menjadi pendakwa utama dalam kes liwat itu.

Peguam Anwar Latheefa Koya memberitahu The Malaysian Insight, Hakim Kamaludin Md Said turut mengarahkan Shafee yang dinamakan dalam permohonan penzahiran itu untuk mengemukakan hujahnya menjelang 9 Julai akan datang.

Menurut Latheefa, hakim mengarahkan kerajaan untuk mengemukakan afidavit sebagai menjawab permohonan yang dibuat Anwar sebelum 12 Julai ini.

Dalam pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, Anwar yang juga bekas ahli Parlimen Permatang Pauh diwakili N Surendran dan Latheefa.

“Dalam pengurusan kes hari ini, kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nadia Hanim Tajuddin.

“Shafee pula diwakili peguam Sarah Abishegam, tetapi perdana menteri tidak diwakili sebarang peguam,” kata Latheefa kepada The Malaysian Insight.

Latheefa berkata, hakim menetapkan 3 Ogos depan, sebagai tarikh pengurusan kes berikutnya.

Portal Sarawak Report sebelum ini mendakwa Najib membayar RM9.5 juta kepada Shafee melaui dua pembayaran yang menyaksikan Anwar didapati bersalah mahkamah rayuan pada 7 Mac, 2014.

Pejabat Perdana Menteri dan Shafee sebelum ini enggan memberikan sebarang komen berhubung dakwaan itu.

Shafee dilantik bekas peguam negara Abdul Gani Patail untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan terhadap pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau kemudiannya tampil sebagai pendakwa raya utama dalam kes itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Minggu lalu, Anwar Ibrahim memfailkan “discovery application” atau permohonan penzahiran terhadap Najib dan Shafee meminta mereka mengemukakan penyata bank dalam tempoh tertentu.

Dalam permohonan itu, Anwar meminta Najib mendedahkan penyata akaun bank yang dimilikinya antara Ogos 2013 dan Oktober 2013 dan Januari 2014 hingga Mac 2014.

Terutamanya berhubung pembayaran yang dibuat kepada Shafee pada 11 September 2013 sebanyak RM4.3 juta dan 17 Februari 2014 sebanyak RM5.2 juta.

Beliau juga memohon penyata kewangan daripada Shafee dalam tempoh yang sama berhubung pembayaran yang diterima.

Najib dan Shafee diminta memberikan maklumat berhubung penyata bank mereka dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perintah mahkamah.


Tiada ulasan: