Khamis, 29 Jun 2017

Lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Morib

Bernama



SHAH ALAM – Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika keluar menjaring ikan bersama anak lelakinya berhampiran Pantai Morib, Kuala Langat, dekat sini, lewat petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, mangsa Juani Mohd, 61, hilang ketika sedang menarik jaring pada kedudukan kira-kira satu batu nautika dari pesisiran pantai.

“Anak mangsa yang keluar menjaring ikan bersama mangsa berkata ayahnya tiba-tiba hilang dari pandangan beliau ketika sedang menarik jaring dan dipercayai lemas. Beliau kemudian bertindak menghubungi bomba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini

Menurut Mohd Sani, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.05 petang dan sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting dikerahkan ke tempat kejadian.

Katanya, gerakan mencari dan menyelamat disambung semula pagi ini dengan bantuan tiga buah bot, bersama 29 anggota terdiri daripada anggota bomba dan penyelamat, polis serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kepada nelayan-nelayan
tempatan supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mereka menjumpai mangsa. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: