Selasa, 27 Jun 2017

KPN – Jabatan Peguam Negara Arah Siasat Lebih Lanjut 1MDB

Rafa Azmir

KPN


Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan pihak polis untuk menyiasat lebih lanjut mengenai isu 1MDB, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Saya ingat saya sudah cakap ini. Saya sudah beritahu sebelum ini bahawa Peguam Negara telah mengarahkan kita menyiasat lanjut beberapa persoalan yang timbul, jadi kita sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau disoal wartawan sama ada terdapat sebarang arahan dari pejabat peguam negara berhubung kertas siasatan yang diserahkan oleh polis.

Polis menubuhkan sebuah pasukan penyiasat pada April 2016 untuk meneliti laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB, sehari selepas laporan berkenaan dibentangkan.
Pada April tahun ini, Khalid memberitahu pemberita bahawa siasatan itu telah selesai.

Pada 17 Jun lalu, Khalid berkata beliau masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pejabat peguam negara berhubung kertas siasatan yang diserahkan oleh polis.

Tekanan ke atas pejabat peguam negara dan polis semakin meningkat susulan pemfailan saman sivil terbaru oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB pada 15 Jun.

Pelbagai pihak, khususnya pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil membidas pihak berkuasa Malaysia kerana gagal bertindak sedangkan rakan sejawatan mereka di Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain telahpun mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB.

Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, dilaporkan berkata, pelbagai siasatan yang dijalankan mendapati tiada kegiatan jenayah yang telah dilakukan.

1MDB pula bertegas bahawa tidak ada wang yang telah diselewengkan daripada syarikat itu, yang jelas bercanggahan dengan dakwaan DOJ.


Tiada ulasan: