Khamis, 22 Jun 2017

Keputusan tidak berubah walaupun BN Sarawak merayu - Jeneri

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Sarawak mempunyai hak dalam membuat rayuan terhadap pengisytiharan Mahkamah Tinggi Kuching yang membatalkan pelucutan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut.
 
Bagaimanapun menurut penganalisis politik, Dr Jeneri Amir, tindakan tersebut tidak akan merubah keadaan yang sebaliknya sebagaimana diingini BN.
 
"Mereka (BN Sarawak) perlu menerima keputusan mahkamah tinggi yang lalu dan mereka berhak untuk mengemukakan rayuan ke mahkamah lebih tinggi dan biarkan makhmah itu tadi membuat keputusan, dan kalau masih tidak berpuas hati mereka boleh merayu lagi di Mahkamah Persekutuan," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
BN Sarawak baru-baru ini akan merayu ke peringkat Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Tinggi Kuching membatalkan pelucutan kelayakan ADUN Pujut itu.
 
Pada 12 Mei lepas, Dr Ting dilucutkan kelayakan sebagai ADUN Pujut kerana beliau didakwa pernah memegang dua kewarganegaraan (Malaysia dan Australia) selepas usul itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh dan diluluskan dengan undi 70-10.
 
Sementara itu, Jeneri ketika mengulas lanjut keputusan Mahkamah itu berkata, tindakan speaker yang tidak mahu mengekalkan ADUN Pujut tidak boleh dikira kerana dia dikategorikan sebagai pendakwa.
 
"Jadi DUN itu sebagai badan yang menggubal undang-undang dan mahkamah sebagai badan yang menjatuhkan hukuman.
 
"Jadi mahkamah tempoh hari telah menjelaskan dengan konkrit dengan hujah-hujah dan dalil-dalil berkenaan, tetapi saya fikir yang menjadi isu sekarang ialah DUN Sarawak nak kemukakan rayuan itu tetapi sebelum rayuan itu dibuat, mereka perlu pertimbangkan banyak perkara.
 
"Keputusan itu diserah balik kepada mahkamah, mereka (DUN) tidak boleh lagi mengambil keputusan untuk memecat sekali lagi kerana itu jelas bukan sahaja tidak menghormati mahkamah, tetapi juga menghina mahkamah yang jelas bertentangan dengan undang-undang," jelasnya lagi.
 
Ditanya berkenaan hasrat DAP Sarawak yang mahu mengadakan Sidang DUN tergempar, Jeneri berpendapat Speaker DUN Sarawak tidak akan membenarkan tindakan itu.
 
"Untuk DAP mengemukakan usul itu, saya fikir DAP punya hak untuk kemukakan usul berkenaan, tapi saya tidak percaya bahawa speaker atau DUN Sarawak akan membenarkan usul itu untuk dibentangkan.
 
"Jadi soal hasrat DAP nak bentangkan usul itu di DUN, saya fikir akan berdepan dengan cabaran kerana saya percaya BN tidak akan beri ruang untuk isu berkenaan dibahaskan di DUN," katanya.
 
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen pada semalam berkata DUN Sarawak perlu mengadakan sidang tergempar dalam tempoh dua minggu, bermula pada hari ini selepas mahkamah memutuskan untuk mengekalkan ADUN Pujut.
 
Chong yang juga Ketua Pembangkang Sarawak berkata keperluan sidang tergempar itu diadakan untuk membincangkan bagaiman badan penggubal undang-undang bertindak secara tidak sah.
 
 

Tiada ulasan: