Sabtu, 17 Jun 2017

[KEMASKINI] Jaringan Rakyat Malaysia dakwa saman DoJ didalangi rakyat Malaysia

Oleh Ahmad Farhain bin Mazlan
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Jaringan Rakyat Malaysia Ng Lum Yong membuat laporan polis terhadap empat individu yang dianggap sebagai pengkhianat negara, susulan permohonan saman sivil yang difailkan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Pihaknya percaya bahawa Ahli Parlimen Subang R Sivarasa Rasiah, Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown, bekas pengarah eksekutif SUARAM Cynthia Gabriel dan peguam Matthias Chang adalah individu yang terlibat dalam satu konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.
 
"Kami datang ke IPD membuat satu laporan yang telah dinyatakan oleh DOJ tentang 1MDB dan kita telah mendapati memang ini satu rancangan kerana berita ini telah disiarkan khususnya untuk DOJ ini sudah empat kali tetapi dia tidak ada (tindakan) susulan.
 
"Oleh itu kita mendapati ada 4 orang tempatan yang kita syaki terlibat dalam kes konspirasi politik untuk jatuhkan kerajaan," katanya ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul disini hari ini.
 
Terdahulu DoJ memfailkan permohonan untuk merampas lebih banyak aset, termasuk sebuah lukisan mewah dan hasil hak cipta 2 filem komedi Hollywood, dalam usaha mendapatkan kembali AS$540 juta wang yang dikaitkan dengan dana dicuri daripada 1MDB.
 
Permohonan terbaru itu berkaitan dakwaan kecurian dana 1MDB, syarikat yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
Beliau juga berkata, satu perancangan yang rapi telah dibuat oleh mereka untuk meracuni pemikiran rakyat dengan cara fitnah dan sebaran berita palsu yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan menjelang pilihanraya akan datang.
 
"(Mereka) merancang begitu rapi sekali sebelum pilihanraya yang akan sampai. Dia akan timbulkan kes itu semula tapi tidak ada susulan langsung daripada pihak mahkamah Amerika Syarikat.
 
"Keempat-empat orang yang terlibat ini memang mereka ada satu pertubuhan untuk jalankan banyak kerja untuk jatuhkan kerajaan.
 
"Kali ini mereka kita syaki sebagai ejen CIA atau ejen kepada Amerika untuk jatuhkan kerajaan Malaysia, ini ada berkaitan dengan politik antarabangsa.
 
"Kerana hubungan antara luar Malaysia memang pesat membangun oleh itu mereka ingin menggunakan sesuatu untuk jatuhkan imej Malaysia yang giat membangun dalam segi ekonomi," katanya lagi.
 
Ujar Lum Yong, beliau berharap lebih banyak lagi pertubuhan yang akan tampil dan membuat laporan polis terhadap individu-individu ini dalam masa yang terdekat.
 
"Ini (laporan) yang pertama saya buat, saya menjangkakan akan ramai lagi pertubuhan akan tampil kehadapan dalam satu atau dua hari ini untuk membuat laporan ini,"ujarnya lagi.
 
Bekas pengasas PKR itu juga meminta pihak berkuasa untuk melucut kerakyatan empat individu berkenaan yang disyaki menjadi ejen kepada Amerika Syarikat.
 
 

Tiada ulasan: