Khamis, 22 Jun 2017

Jaminan PM Hanya Retorik Umno Bn , Pasti Akan DiAbaikan Seperti Lazimnya

Dato' Johari Abdul 
 



Dalam Majlis Konsultasi Bajet 2018 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib memberi jaminan akan memperhalusi dan memberi pertimbangan sewajarnya semua cadangan yang telah dikemukakan dalam majlis tersebut.

Menurut Najib Razak, majlis itu merupakan platform penting bagi sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi pandangan dan memberi maklum balas terhadap cabaran dan isu-isu semasa serta langkah menanganinya membuktikan dasar keterbukaan dan keprihatinan kerajaan dalam mendahului kepentingan rakyat. 

1. Namun, saya berpendapat bahawa penganjuran majlis itu hanya sekadar sesi luahan perasaan rakyat sahaja dan kemudian kerajaan tidak akan ambil pandangan atau maklumbalas mengenai apa yang sudah diutarakan.

Majlis seumpama ini bukanlah pertama kali dianjurkan malahan setiap tahun, apa yang dapat lihat saban tahun masalah sama masih tidak dapat diselesaikan tetapi pelbagai masalah pula timbul.
Janji-janji yang dibuat oleh pihak pemerintah ini hanyalah menjelang pilihan raya sahaja dan pasti akan dilupakan selepas mereka memperolehi kemenangan.

2. Sepatutnya isu-isu rakyat harus diutamakan seperti kekurangan pekerjaan, kos sara hidup yang tinggi, bebanan GST dan seumpamanya. Perlu ada suara-suara di luar yang mendidik, membentuk pandangan umum.

Isu-isu ini yang perlu dihadapi rakyat, di mana mereka mahukan penyelesaian segera. Kalau hanya pandai berjanji tanpa tindakan, ianya tidak akan mendatangkan apa-apa hasil dan itu akan menambahkan tekanan kepada rakyat.

3. Selain itu, menurut Najib Razak, topik pendidikan banyak dibincangkan dengan wakil persatuan yang mana mereka secara jelas berharap peruntukan pendidikan ditingkatkan terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan kurang upaya.

Walaupun telah menerima cadangan dan aduan, peruntukan pendidikan tetap dipotong saban tahun. Dimana kepentingan pendidikan?

Kita dapat lihat negara ini lebih banyak menghabiskan wang negara dengan melakukan projek mega yang tidak mendatangkan faedah daripada menjadikan pelajar sebagai aset negara pada masa akan datang.

4. Rakyat dapat lihat dan nilai sendiri kerajaan di bawah pentadbiran Umno BN ini tidak peka dengan isu semasa, yang mereka tahu hanya bermain sandiwara dan memberi harapan kosong kepada rakyat.

Oleh itu, saya berharap rakyat bijak menilai 'janji-janji' yang ditaburkan oleh kerajaan dan dapat membuat keputusan tepat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

*YB Dato' Johari Abdul,  Ahli Parlimen Sungai Petani, Parti KEADILAN Rakyat
 
 

Tiada ulasan: