Khamis, 22 Jun 2017

Jamal dakwa Tun M dan kumpulannya merasuah DoJ

DALIA ISMAIL

Jamal Md Yunus rantai


Datuk Jamal Md Yunos hari ini mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad  telah 'merasuah' Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Dengan gimik rantai dan cincin berlian Pengerusi Gerakan Gabungan NGO Selangor (Gerakan Merah) itu berkata, tiada bukti yang boleh dikaitkan dengan pembabitan perdana menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam pembelian barangan kemas bernilai RM116juta
(AS$27.3juta) seperti dakwaan DoJ.

"Kita lihat sedang viral bagaimana kumpulan yang diketuai Tun Mahathir telah merasuah DoJ untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia yang mereka sebut sebagai 'MO1' yg dikaitkan dengan Datuk Seri Najib yang mana mereka sudah melakukannya beberapa tahun lalu.

"Tiada bukti yang mampu ditunjuk DoJ selain mendapatkan dokumen yang diberikan kumpulan 'biawak hidup' Tun Mahathir itu kepada DoJ," ujarnya dalam sidang media diadakan di pejabatnya  pagi tadi.

Bahkan Jamal juga mempersoalkan bagaimana rakyat negara ini ujarnya, percaya dengan dakwaan DoJ itu tanpa menyelidikinya terlebih dahulu.

"Saya hairan bagaimana rakyat Malaysia boleh percaya tanpa melakukan siasatan. Jika FBI mesti ada pegawai penyiasat sendiri tetapi tiada satu artikel bagaimana dokumen itu disiasat. Kita terima bulat-bulat apa kata DoJ.

"Kami yakin dan percaya ia adalah agenda jahat daripada Tun Mahathir," ujarnya yang percaya ia adalah satu cara untuk mengunakan DoJ bagi memburukkan pemimpin negara.

Laporan DoJ 251-muka surat pada Khamis lalu yang menamakan beberapa individu dalam usaha merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang menurutnya dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB.

Laporan DoJ itu bagaimanapun tidak menamakan Rosmah mahupun Najib.

Tiada ulasan: