Ahad, 18 Jun 2017

Iskandar: PAS mahu saya tumpu parti, bukan negeri

 
Iskandar Abdul Samad berkata beliau digugurkan sebagai pesuruhjaya negeri supaya beliau tumpu kepada peranan sebagai naib presiden parti.


Iskandar-Abdul-Samad-pas-selangor 

KUALA LUMPUR: Datuk Iskandar Abdul Samad menepis dakwaan beliau digugurkan sebagai pesuruhjaya PAS negeri kerana berpendirian sederhana dan kecenderungan mengekalkan hubungan baik dengan PKR dan DAP.

Exco Selangor dari PAS itu berkata beliau digugurkan dari jawatannya supaya beliau beliau tumpu kepada peranan sebagai naib presiden PAS selepas dilantik semula ke jawatan itu pada muktamar parti tahun ini.

Mesyuarat agung tahunan parti itu juga menyaksikan perwakilan menyokong usul PAS menghentikan kerjasama politik dengan PKR yang menerajui kerajaan Selangor. Usul itu diluluskan Majlis Syura Ulama PAS 11 Mei lalu.

“Mereka mahu saya tumpu kepada kedudukan nasional daripada tumpu kepada Selangor,” kata Iskandar.

“Sebelum ini saya lebih dikenali sebagai pesuruhjaya Selangor walaupun saya memegang jawatan naib presiden,” katanya kepada FMT semalam.

Beliau menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dari DAP, yang percaya Iskandar digantikan dengan Sallehen Mukhyi pada 6 Mei lalu kerana berhubungan baik dengan PKR dan DAP negeri, sebagai “spekulasi”.

“Ada banyak spekulasi. Semua orang boleh berspekulasi. Sama ada betul atau tidak kita tidak tahu,” kata Iskandar.

Beliau menambah kerjasama antara parti dalam kerajaan Selangor masih baik kerana mereka tumpu kepad kebajikan rakyat.

Pada 8 Mei lalu, Santiago menggesa pimpinan PKR menyedari PAS semakin cenderung bekerjasama dengan Umno daripada pembangkang susulan pengguguran Iskandar sebagai pesuruhjaya negeri.

Beliau berkata Iskandar sentiasa mengekalkan hubungan baik bukan sahaja dengan PKR tetapi juga dengan DAP dalam keadaan tertentu.

“Kita menyaksikan kebangkitan konservatisme dalam PAS tetapi Iskandar sentiasa bersederhana. Apabila Iskandar dikeluarkan, jelas PAS tidak lagi berminat bekerja dengan PKR,” katanya.

Pada 18 Mei, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata partinya akan kekal dalam pentadbiran Selangor walaupun selepas memutuskan kerjasama politik dengan PKR dan enggan bekerjasama dengan DAP yang juga sebahagian dari kerajaan itu.

PAS mempunyai 3 exco di bawah Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali, yang juga timbalan presiden PKR. Mereka ialah Iskandar, Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib. Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor Shafie Ngah juga dari PAS.

Tiada ulasan: