Selasa, 20 Jun 2017

GST: Bawa ke Kabinet dulu, tak boleh main naik macam itu, kata Johari

MalaysiaGazette   

Saya arahkan Kastam bawa (senarai barangan yang hendak dikenakan GST) kepada Kementerian Kewangan untuk diteliti dan kami akan bawa kepada Kabinet pula untuk diputuskan sama ada ianya diluluskan atau tidak.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap pada sidang media semasa Majlis Iftar Perdana Kelab Perbendaharaan Putrajaya di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL

PUTRAJAYA – Semua barangan yang hendak dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu dibawa ke pengetahuan Kementerian Kewangan sebelum dibentangkan Kabinet.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, hanya Kabinet yang boleh membuat keputusan muktamad sama ada barangan tersebut boleh dikenakan GST atau tidak.

“Tiada perbincangan di antara Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum mereka memutuskan untuk mengenakan GST kepada 60 makanan tersebut.

“Jadi selepas ini saya arahkan Kastam bawa (senarai barangan yang hendak dikenakan GST) kepada Kementerian Kewangan untuk diteliti dan kami akan bawa kepada Kabinet pula untuk diputuskan sama ada ianya diluluskan atau tidak.

“Ia tak boleh main naik-naik macam itu sahaja,” katanya ketika mengulas mengenai tindakan Kastam Diraja Malaysia yang mengenakan GST enam peratus kepada 60 barangan berkuatkuasa 1 Julai ini.

Cadangan tersebut bagaimanapun telah dibatalkan selepas pihak Kastam berunding dengan Kementerian Kewangan hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Iftar Perdana dan merasmikan Surau Muhammad Al-Fateh di kementeriannya.

Menurut Johari, keputusan untuk mengenakan cukai ke atas 60 barang tersebut dibuat oleh “working level” Kastam dan mereka mungkin telah terkeliru.

Namun selepas diteliti oleh beliau sendiri, Johari mendapati barangan tersebut tidak sesuai dikenakan GST.

“Bila saya panggil Ketua Pengarah Kastam (Datuk T. Subromaniam), beliau sendiri tidak perasan ada barangan yang tidak sesuai turut dimasukkan di dalam senarai untuk dikenakan GST.

“Beliau ingat produk biasa yang boleh keluar-masuk dari senarai.

“Barangan tersebut sepatutnya bukan kerap digunakan oleh rakyat tetapi setelah saya teliti ada sebahagian yang tidak sesuai berada di dalam senarai untuk dikenakan GST.

“Lagipun kutipan cukainya adalah kecil maka saya arahkan supaya ianya dibatalkan terus buat masa sekarang,” jelas beliau lagi.

Antara barangan yang terlibat adalah kentang, bayam, jagung, avocado, buah ceri, ikan todak dan belut.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: