Rabu, 21 Jun 2017

Exco Armada PPBM Lapor SPRM Kes Korupsi Mahathir






PANAS… Kemelut Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tampak bergelora apabila saban masa ada sahaja ahli waima pemimpin akar umbi bertindak keluar parti atau meluahkan rasa kecewa.

Terbaharu Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pusat PPBM, Mohamad Taufik Abas hari ini hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bersama sekumpulan penyokongnya..

Ia bagi menyerahkan pelbagai bukti mengenai salah guna kuasa dan rasuah melibatkan Pengerusinya sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya yang juga Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, bukti rasuah dan salah guna kuasa itu jelas berlaku ketika Mahathir masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri iaitu pada tahun 2003 lalu menerusi projek pembekalan kabel fiber optik.

Ia dianugerahkan kepada syarikat Opcom Sdn. Bhd. dan secara kebetulan dimiliki oleh anaknya sendiri itu untuk Telekom Malaysia Berhad, sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang terlibat dalam bidang telekomunikasi.

“Kami menyerahkan dokumen ini kepada SPRM untuk menyiasat pemberian tender terus ini kepada syarikat Opcom oleh Dr. Mahathir yang ketika itu menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Pemberian tender ini dilihat sebagai bukti salah guna kuasa, penyelewangan dan rasuah yang perlu ditentang dan dibersihkan daripada terus memalit imej parti PPBM,” katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Menurut Mohamad Taufik, meski pun kes tersebut telah berlaku 14 tahun lalu, isu ‘panas’ tersebut perlu ditangani dengan segera bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap imej PPBM yang semakin lesu.

Katanya, slogan mengenai integriti yang sering dilaung-laungkan pemimpin parti itu tidak berguna sekiranya kepimpinannya sendiri terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Tiada ulasan: