Selasa, 20 Jun 2017

Dr Sulaiman Mahbob calon tepat, mampu pulihkan FGV - Pakar ekonomi

Oleh Ahmad Farhain Mazlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Perlantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mampu mengembalikan prestasi dan momentum syarikat perladangan itu yang terjejas ekoran kemelut yang dihadapinya baru-baru ini.
 
Penganalisis ekonomi, Prof Datuk Mohd Yusof Kassim menyifatkan pemilihan itu sangat tepat kerana beliau yakin dengan pengalaman dan kebolehan Dr Sulaiman.
 
"Tan Sri Sulaiman Mahbob dia memang berkelayakan kerana dia pakar ekonomi, pada pandangan saya dia memang berkelayakan dan (perlantikan itu) satu tindakan yang wajarlah.
 
"Saya rasa dengan pengalaman dia sebagai (bekas) Ketua Setiausaha (KPDNKK) dan juga ahli ekonomi saya rasa dia boleh menerajui dengan baiklah kerana dia memahami pasaran semua," katanya kepada Antarapos.
 
Dr Sulaiman yang juga Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM) dilantik sebagai Pemangku Pengerusi FGV menggantikan Tan Sri Isa Samad  yang meletakkan jawatan semalam.
 
Isa pula akan memangku tugas sebagai pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantikan Tan Sri Syen Hamid Albar yang  bersara pada 3 Jun lalu.
 
Pengumuman itu dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.
 
Dr Sulaiman, 68, berpengalaman luas dalam bidang ekonomi pernah menerajui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain terlibat dalam beberapa organisasi besar tempatan.
 
Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dan ketua sekretariat Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) semasa krisis kewangan 1997, 1998 yang melanda negara ini.
 
Merupakan lulusan ekonomi dari Universiti Malaya (UM), Dr Sulaiman memegang sijil sarjana dari University of London sebelum menyempurnakan pengajian peringkat PhD di Maxwell School of Citizenship dan Public Affairs di Syracuse University, Amerika Syarikat pada 1986.
 
Dr Sulaiman kini kembali ke UM sebagai profesor adjung selain turut mengajar di Universiti Tun Abdul Razak dalam bidang ekonomi dan dasar awam.
 
Dalam pada itu Mohd Yusof menyanggah pendapat sesetengah pihak khuatir kononnya SPAD akan turut memerima nasib seperti FGV sesusulan pelantikan Isa untuk menerajui badan pengangkutan itu.
 
"Kalau ikutkan bisnes dia berbeza, yang FGV ini betul-betul ekonomi bisnes lah, yang SPAD ini lebih kepada badan kawal selia saya rasa dia tiada ada masalah sangat sebab dah ada peraturan yang perlu dia ikut, jadi kalau dia ikut semua peraturan saya tidak rasa akan timbul sebarang masalah," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: