Rabu, 21 Jun 2017

Daesh: Penganggur dihukum penjara lima tahun

ISMA WEB
 


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang penganggur selepas mengaku salah atas tiga pertuduhan mengendali harta pengganas Daesh. 

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman memerintahkan tertuduh, Hasrianto Matan, 21, dipenjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak dari tarikh tangkap iaitu 17 Julai tahun lalu.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, walaupun derma hanya berjumlah RM1, wang itu tetap digunakan untuk perbelanjaan pengganas.

“Kumpulan pengganas sentiasa mengharapkan bantuan untuk meneruskan perjuangan. Kamu sedar apa yang kamu lakukan itu bertujuan membantu pengganas dan ia kesalahan amat serius,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Hasrianto didakwa mengendalikan secara tidak langsung harta pengganas, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, dengan memasukkan RM100 ke dalam akaun Bukhori Che Noor bagi manfaat pengganas itu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan perkara sama, masing-masing atas kesalahan memasukkan RM100 dalam akaun Bukhori.

Semua perbuatan didakwa dilakukan di Maybank cawangan USJ, Subang antara 4 April 2016 hingga 5 Jun 2016.


Tiada ulasan: