Khamis, 22 Jun 2017

Bersediakah PM dan Shafee dedah akaun bank mereka?

 MALAYSIA DATELINE

Najib dan Shafee

Adakah perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah bersedia untuk mendedahkan akaun bank masing-masing seperti diarahkan mahkamah tinggi semalam?

Apakah kesan tindakan mendedahkan akaun bank dua individu berprofail tinggi itu terhadap sabitan kes liwat II ketua pembangkang yang juga bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dan adakah pembebasan Anwar daripada pertuduhan akan memberi peluang kepada gabungan Pakatan Harapan untuk mencipta sejarah baru negara bagi menggantikan kerajaan BN di Putrajaya?
Kesemua persoalan ini akan terjawab pada prosiding mahkamah Julai dan Ogos ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengarahkan kerajaan untuk menjawap permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengketepikan sabitan kes Liwat II berikutan dakwaan Najib membayar RM9.5 juta kepada Shafee sebagai khidmatnya menjadi pendakwa utama dalam kes liwat itu.

Hakim Datuk Kamaludin Md Said membuat arahan itu ketika pengurusan kes semalam.

Beliau mengarahkan kerajaan untuk mengemukakan afidavit sebagai menjawap permohonan yang dibuat Anwar sebelum 12 Julai ini.

Peguam Anwar, Latheefa Koya ketika dihubungi media berkata, hakim itu turut memerintahkan Shafee, yang dinamakan dalam permohonan penzahiran itu untuk mengemukakan hujahnya menjelang 19 Julai.

Hakim Kamaludin kemudiannya menetapkan 3 Ogos depan, sebagai tarikh pengurusan kes berikutnya.

Kerajaaan hari ini diwakili oleh peguam persekutuan kanan, Nadia Hanim Tajuddin manakala Sarah Abishegam pula mewakili Shafee. Najib pula tidak diwakili oleh sebarang peguam.

Shafee dilantik oleh peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan terhadap pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau kemudiannya tampil sebagai pendakwa raya utama dalam kes itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sarawak Report sebelum ini mendakwa Najib membayar RM9.5 juta kepada Shafee melalui dua pembayaran yang menyaksikan Anwar didapati bersalah oleh mahkamah rayuan pada 7 Mac, 2014.

Pejabat Perdana Menteri tidak memberi sebarang jawapan berhubung soalan media mengenai dakwaan itu manakala Shafee awal bulan ini berkata akan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara itu.

Setakat ini belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan beliau.

Tiada ulasan: