Ahad, 18 Jun 2017

Ahli PKR kecewa jika Anwar bukan calon PM

Oleh Ahmad Farhain Mazlan
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas pengasas PKR Ng Lum Yong yakin majoriti ahli parti itu kecewa jika Ketua Umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menduduki jawatan perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.
 
Beliau berkata demikian merujuk polemik isu pencalonan jawatan perdana menteri di kalangan Pakatan Harapan membabitkan Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad. 
 
"Saya anggap, ramai ahli PKR akan kecewa dengan keputusan ini sebab dari mula semua anggap Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri yang akan datang, bukannya orang lain, tetapi tiba-tiba nama Tun Mahathir disebut,"katanya kepada Antarapos.
 
Bagaimanapun selepas beberapa ketika isu itu hangat diperkatakan, Anwar semalam membuat kejutan apabila mengumumkan beliau tidak akan menawarkan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang pada PRU14.
 
Anwar melalui kenyataan yang dikeluarkan menerusi PKR berkata, PH harus memberikan perhatian kepada dasar negara, kepincangan sistem dan ke arah kemenangan PRU14.
 
Bekas ketua pembangkang itu turut menyuararakan kekhuatiran terhadap usul Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mengusulkan struktur PH dirombak dengan pimpinan mereka diletakkan di jawatan pengerusi dan presiden pakatan. 
 
Anwar berkata beliau khuatir rombakan itu akan merombak kerangka pakatan menjadikannya mirip Barisan Nasional (BN).
 
Mengulas lanjut, Ng menambah, apa yang berlaku dalam gabungan itu kini adalah sesuatu yang 'tidak bermoral dan berprinsip' kerana lebih cenderung kepada agenda untuk berkuasa.
 
"Saya sebagai mantan pengasas parti sangat sedih dengan suasana politik yang tidak bermoral dan tidak berprinsip hanya untuk kepentingan untuk berkuasa, tidak ada rancangan yang khusus dan panjang untuk rakyat," tambahnya lagi.
 
Beliau malah menyifatkan, parti yang diterajui Dr Mahathir itu adalah parti baru dan sekiranya Dr Mahathir diangkat sebagai perdana menteri, ia diyakini tidak mampu menggalas mandat rakyat ekoran matlamat utamanya yang hanya mahu jatuhkan BN.
 
"Hingga hari ini Parti Bunga Raya ini tidak mengeluarkan satu manifesto sekiranya dia berjaya memerintah dan (jika salah) seorang ahlinya menjadi perdana menteri serta 'blue print' mereka kita langsung tidak tahu. 
 
"Oleh itu bagaimana rakyat nak mengharapkan parti ini yang ditubuhkan dalam masa satu tahun sahaja,"ujar beliau.
 
 

Tiada ulasan: