Sabtu, 17 Jun 2017

26,384 PATI diusir sejak Januari

MALAYSIAKINI


Seramai 26,384 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) diusir dari Malaysia sejak awal Januari sehingga semalam, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata kesemua PATI itu diusir hasil daripada 6,936 operasi penguatkuasaan di seluruh negara, di mana 75,190 warga asing diperiksa.

"Dalam tempoh sama, seramai 21,717 PATI ditahan diatas pelbagai kesalahan Imigresen. Seramai 619 majikan juga ditahan sepanjang tempoh berkenaan," katanya pada sidang berita selepas majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam semalam.

Turut hadir Pengarah Imigresen Selangor Omran Omar.

Di majlis itu, Mustafar turut menyampaikan sumbangan kepada 16 ibu tunggal, 12 kakitangan Jabatan Imigresen dan lapan kanak-kanak kurang upaya.

Dalam perkembangan lain, Mustafar mengingatkan majikan supaya mendaftarkan pekerja asing mereka melalui program Enforcement Card (E-Card) sebelum berakhirnya tarikh akhir pada 30 Jun ini.

"Ini kerana, Jabatan Imigresen akan melaksanakan penguatkuasaan dan mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal berbuat demikian mulai 1 Julai ini,"katanya.

Sehingga kini, sebanyak 113,670 E-kad sudah dikeluarkan di seluruh negara.- Bernama


Tiada ulasan: