Jumaat, 26 Mei 2017

Segera tubuhkan Sekretariat Pakatan Harapan, gesa Pemuda Amanah Selangor

ARIF ATAN

Abbas AzmiAbbas Azmi
Susulan pengisytiharan Datuk Seri Azmin Ali bahawa Selangor yang ditadbirnya merupakan Negeri Pakatan Harapan, Pemuda Amanah negeri menggesa supaya Sekretariat Pakatan Harapan Selangor ditubuhkan pada kadar segera.

"Kalau tidak hari ini, minggu depan. Kami (Pemuda Amanah Selangor) benar-benar serius dengan tuntutan ini," tegas Ketuanya, Abbas Azmi pada sidang media di Pejabat Amanah Selangor di Shah Alam sebentar tadi.

Menurutnya, penubuhan sekretariat tersebut disifatkan sangat mendesak memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bila-bila masa sahaja akan diadakan.

"Persiapan Pakatan Harapan perlu dimulakan sekarang.

"Langkah-langkah awal, strategi dan merangka gerak kerja bersama perlu dibincangkan dan diputuskan oleh sekretariat ini," ujarnya.
Bimbang dengan kedudukan Pas yang dianggap "semakin jinak dan mesra Umno-BN", Abbas berkata parti tersebut tidak berada dalam Pakatan Harapan memandangkan telah memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR serta tidak dapat bekerjasama dengan Amanah dan PPBM.
"Istilah yang sesuai ialah 'duri dalam daging' dalam pentadbiran kerajaan negeri, PBT (pihak berkuasa tempatan) yang melibatkan ahli majlis dan ketua kampung.

"Bagaimana sudah bercerai tapi masih tidak mahu berpisah tempat tinggal? Melainkan ada agenda tertentu. Apa alasannya, berpisah tetap berpisah," jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya akan menghantar surat berhubung desakan penubuhan Sekretariat Pakatan Harapan Selangor kepada Amanah, PKR, PPBM dan DAP melalui pengerusi parti masing-masing.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, pembangkang ketika itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat mengekalkan kerajaan negeri dengan menguasai 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

DAP dan Pas menang masing-masing 15 kerusi manakala PKR memperoleh 14 kerusi. Walau bagaimanapun, perpecahan Pakatan Rakyat menyebabkan Pas tinggal 13 kerusi, PKR (13) manakala Amanah muncul mendapat dua kerusi, Bebas (2).

DAP kekal 14 kerusi begitu juga BN masih 12 kerusi.  

Di peringkat Parlimen pula, BN hanya menang lima kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13, 2013 lalu berbanding Pakatan Harapan dan Pas yang menguasai 17 kerusi.

Tiada ulasan: