Selasa, 23 Mei 2017

Sebutan kes rasuah bekas Exco 5 Julai

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 5 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes rasuah bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi @ Nor Sebandi dan seorang perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub.
 
Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bagi penelitian dokumen sebelum perbicaraan ditetapkan.
 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil, memohon mahkamah membenarkan tarikh sebutan semula yang dicadangkan itu bagi memastikan dokumen lengkap dihantar.
 
Abd Latif diwakili oleh lima peguam diketuai Datuk Salehuddin Saidin manakala Amir Shariffuddin diwakili Azrul Zulkifli Stork dan Hazza Khalid.
 
Pada 19 April lalu, Abd Latif, 51 bersama Amir Shariffuddin, 44, mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan berasingan membabitkan nilai suapan RM30.3 juta di Mahkamah Sesyen.
 
Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi beberapa projek.
 
Amir Shariffuddin turut didakwa menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd Latif melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera itu dan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.
 
Semua kesalahan dilakukan antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu di beberapa lokasi.
 
 

Tiada ulasan: