Selasa, 30 Mei 2017

‘Saya sudah ulang banyak kali, Cameron Highlands milik MIC’

Kumara Sabapatty
Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam (kanan) bersama peninju seni mempertahankan diri campuran antarabangsa (MMA), Agilan Thani (kiri) pada Majlis Penghargaan khas di Ibupejabat MIC, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR,
 

KUALA LUMPUR – MIC mengulangi pendirian parti itu sekali lagi hari ini bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah milik mereka.

Malah kerusi itu tidak akan dibiarkan dirampas oleh mana-mana pihak lain dalam komponen Barisan Nasional (BN) mahu pun myPPP.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam MIC berkata, perkara itu telah dijelaskan beliau berulang kali dalam bahasa yang boleh difahami semua pihak.

“Saya sudah mengulangi beberapa kali mengenainya (Cameron Highlands untuk MIC) dalam bahasa yang boleh difahami, tak mahu ulang lagi.

“Kita (MIC) tetap dengan pendirian kami di (Cameron Highlands),” katanya dalam sidang media sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di sini petang tadi.

Terdahulu MIC telah memberi pengiktirafan Khas kepada atlet Sukan Seni Pertahan Diri Campuran (MMA), Agilan Thani, 21, yang memenangi One Championship di Singapura Sabtu lepas.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan telah mengalungkan loket emas dan wang tunai RM10,000 sebagai menyatakan sokongan bahawa sayap pemuda MIC diketuai Datuk C.Sivarraajh bersedia menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan Agilan untuk terus melangkah jauh dalam sukan MMA.

Mengulas mengenai pendafaran pengundi, Subramaniam berkata, MIC telah memulakan proses meningkatkan pendaftaran pengundi sebelum 30 Jun ini seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Setakat ini, kita berjaya mendaftarkan lebih kurang 10,000 pengundi India dalam dua hingga tiga minggu lalu dan harapan sebelum penghujung bulan Jun kita akan yakin boleh mendaftarkan bilangan pengundi baharu masyarakat India iaitu sebanyak 20,000 orang lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menegaskan, program MyDaftar secara besar-besaran akan diadakan bermula 5 Jun hingga 22 Jun ini di 23 lokasi cawangan Jabatan Pendaftaran Negera (JPN) terpilih seluruh negara.

“Program pertama akan dimulakan di Tangkak, Johor pada Isnin dan berakhir di JPN Putrajaya pada 22 Jun mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita meggembleng tenaga dengan parti komponen BN dan mesra BN serta parti lain untuk menjayakan usaha ini dan berharap ramai masyarakat India bermanfaat,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: