Jumaat, 26 Mei 2017

PKR tetap alu-alukan rundingan dengan PAS

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: PKR masih membuka 'pintu' kerjasama politik yang mungkin terjalin dengan PAS biarpun kedua-dua parti itu tidak lagi mempunyai tahaluf siyasi, demikian kata Naib Presidennya, Dr Xavier Jayakumar. 
 
Ujar Xavier, PKR mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dengan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu kerana masing-masing mendukung perjuangan yang sama iaitu menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
 
"Kalau dia (PAS) mengakui bahawa dia mahu ada rundingan dengan parti PKR, dan mana-mana parti di Pakatan Harapan (PH). Kita terima dan kita alu-alukan komunikasi itu sebab akhirnya PAS atau parti PH kita nak menang PRU akan datang.
 
"Kalau ada perkongsian di antara PAS dan PH saya alu-alukan dan kita akan teruskan perundingan kalau ada peluang untuk buat demikian. Kita akan teruskan," katanya kepada pemberita selepas sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.
 
Tahaluf siyasi PAS-PKR berakhir selepas Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan demikian dua minggu lalu, kerana mendakwa parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melakukan banyak perlanggaran syarat tahaluf.
 
Susulan keputusan itu, timbul teka teki mengenai kedudukan exco dan wakil PAS di Selangor, tambahan pula selepas PKR mengarahkan kesemua wakil partinya dalam kerajaan PAS Kelantan meletakkan jawatan selaras dengan keputusan Majlis Syura.    
 
Bagaimanapun kedudukan tiga exco PAS di Selangor akhirnya terjawab selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan seiring dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali untuk mengekalkan jawatan ketiga-tiga mereka dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga pilihan raya umum akan datang.
 
Semalam Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Zuhdi Marzuki berkata keputusan mengekalkan tiga exco PAS dalam kerajaan Selangor pimpinan PKR membuktikan kedua-dua parti masih boleh bekerjasama walaupun tiada hubungan rasmi dalam satu gabungan pembangkang.
 
Zuhdi menyifatkan perkembangan di antara PAS-PKR itu menjadi satu contoh di mana rakyat boleh melihat sendiri parti yang tidak bergabung mampu membentuk sebuah ‘Kerajaan Campuran’. 


Tiada ulasan: