Rabu, 24 Mei 2017

PKR Kelantan kumpul surat letak jawatan undur dari kerajaan PAS

 
Ada kemungkinan pendirian Azmin mengekalkan exco PAS di Selangor akan mempunyai kesan terhadap ahli PKR dalam pentadbiran Kelantan.


Ab-Aziz-Ab-Kadir_pkr_pas_600


PETALING JAYA: Ahli PKR dalam pentadbiran Kelantan pimpinan PAS kini sedang giat bersiap sedia untuk menyerahkan peletakan jawatan mereka.

Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir berkata ahli PKR yang dilantik kerajaan Kelantan juga tidak menghadiri majlis angkat sumpah bagi mematuhi arahan PKR pusat supaya berundur daripada pentadbiran.

“Setakat ini PKR negeri sedang mengumpul semua surat peletakan jawatan ahli yang dilantik untuk diserahkan secara rasmi,” katanya kepada FMT.

Pada 17 Mei lalu, PKR mengarahkan semua ahli partinya yang dilantik dalam dalam pentadbiran kerajaan Kelantan meletak jawatan serta merta.

Ia susulan keputusan PAS membatalkan kerjasama politik dengan PKR.

Keputusan itu bagaimanapun tidak menjejaskan jawatan negeri yang disandang pemimpin PAS di Selangor di bawah Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Biro Politik PKR malam tadi bersetuju dengan keputusan Azmin untuk mengekalkan status 13 Adun PAS termasuk 3 exco dalam pentadbiran Selanhor.

Ab Aziz berkata susulan keputusan mengekalkan exco PAS, pihaknya tidak menolak kemungkinan pendirian sama dibuat melibatkan ahli PKR dalam pentadbiran Kelantan.

Bagaimanapun, beliau berkata PKR Kelantan belum menerima arahan baharu daripada parti supaya ahlinya kekal dalam pentadbiran Kelantan.

“Jadi keputusan terbaharu (untuk kekal di Kelantan) kita belum terima apa-apa arahan daripada pusat lagi, kalau kita terima arahan berbeza kita akan buat keputusan lain, selagi tidak ada keputusan baharu kita guna yang dahulu.”

Tiada ulasan: