Jumaat, 26 Mei 2017

PH kritik Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia

Oleh Noel Achariam
PH kritik Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia
Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar menyifatkan kandungan MIB sebagai tidak mendalam, banyak kelemahan dan tidak memahami kesukaran masyarakat India Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 
 
PAKATAN Harapan mengecam Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) menyifatkannya sebagai tidak mendalam dan gagal mengutarakan masalah yang dihadapi komuniti India negara ini.

Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar berkata dokumen setebal 168 muka surat itu sekadat gimik pilihan raya kerajaan Barisan Nasional.

Dia berkata yang laporan MIB mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan.

“Kami mahu kerajaan menilai kembali dokumen itu. Perlu ada tempoh dan kelompok sasaran.

“Mereka kata mereka sasarkan kumpulan B40 tetapi mana jumlahnya. Sekiranya tiada sasaran bagaimana mereka hendak kenal pasti ia dapat dicapai atau tidak?” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR.

Menjelang pilihan raya umum akan datang, kerajaan pada April lepas mengumumkan peruntukan lebih RM1 bilion untuk masyarakat India menerusi MIB.

Perdana Menteri Najib Razak berkata RM500 juta akan diperuntukkan kepada skim pelaburan saham amanah Permodalan Nasional Bhd untuk masyarakat India dalam kumpulan B40.

B40 merujuk kepada keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,855 dan ke bawah.

Xavier berkata yang menurut laporan itu, terutamanya dalam bawah 40% (IB40) sudah dikenalpasti berdepan dengan masalah teruk yang melibatkan kesenjangan pendapatan, pemilikan rumah, ketiadaan kewarganeraan, pengganguran belia dan pendidikan.

Wakil rakyat Seri Andalas itu berkata dalam aspek kesenjangan pendapatan IB40 hanya menerima peratusan kecil 17% jumlah keseluruhan pendapatan.

“Kemiskinan hanya boleh dihapuskan sekiranya ada kesanggupan politik untuk menangani masalah itu.

“MIB menangani masalah ini dalam silo orang India dan gagal mengenalpasti kesukaran yang dihadapi kumpulan B40.

“Laporan itu turut menyebut yang 40% belia India tidak mempunyai pekerjaan pada 2015.
“Sebanyak 81% isi rumah IB40 tidak mempunyai simpanan mencukupi menyokong perbelanjaan tiga bulan,” katanya.

Dalam isu kewarganegaraan pula, Xavier berkata mereka akan menyelesaikan masalah kewarganeragaan ini dalam masa enam bulan selepas menakluk Putrajaya.

“PH akan menggerakkan semua jentera negeri untuk menyelesaikan masalah untuk semua orang India di Malaysia berbanding pelan Najib Razak yang mahu menyelesaikannya dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Xavier juga menyentuh isu pendidikan dan sekolah Tamil di mana hampir 25,000 orang India tercicir dalam pelajaran.

“Laporan itu menyebut yang pelajar India hanya berjumlah 4% yang diterima masuk ke dalam universiti awam sesi 2014/2015 dan mereka merancang  untuk menaikkannya kepada 7% dalam tempoh 10 tahun.

“Kami boleh capai matlamat itu dalam masa kurang daripada yang dicadangkan MIB.

“MIB juga mengatakan yang 10 tahun akan diambil untuk mengubah sekolah Tamil.

“Dalam masa lima tahun sahaja, kami berjaya melengkapkan 41 sekolah Tamil dengan makmal komputer bernilai RM3,118. Kami juga memberikan RM17 juta kepada 97 sekolah tamil untuk pembangunan.

“Berbanding kerajaan yang membelanjakan RM800 juta kepada sekolah Tamil tetapi 60% tidak mempunyai makmal komputer,” katanya.

Xavier juga mengecam kerajaan kerana tidak melibatkan PH dalam proses pembentukan MIB.
“Ahli Parlimen pembangkang India jauh lebih ramai berbanding BN.

“Bagaimanapun, kami dinafikan peluang dan dipinggirkan dalam pembangunan pelan hala tuju ini.
“Kami sepatutnya dilibatkan sama dalam proses itu,” katanya.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata yang SEED, projek perintis di bawah MIB untuk usahawan India yang mendakwa sudah membantu 29,115 usahawan memperolehi pinjaman berjumlah RM1.2 bilion disalurkan kepada kumpulan T20 dan M40.

“Bagaimanapun ramai orang India dalam kumpulan M40 dan B40 tidak layak untuk pinjaman itu. Kerana itu mereka terpaksa meminjam dengan lintah darat.

“Kami mahu kerajaan menyalurkan RM1 bilion dan geran kepada IB40 dan IM40,” katanya.

Tiada ulasan: