Khamis, 25 Mei 2017

Penyerang bunuh diri di Jakarta guna dua bom periuk

ISMA WEB
 


JAKARTA – Dua letupan di stesen bas TransJakarta di Kampung Melayu, Jakarta Timur, semalam yang mengorbankan lima orang, termasuk tiga anggota polis dan mencederakan 10 yang lain, dilaporkan hasil daripada bom buatan sendiri, kata polis.

Jurucakap Polis Indonesia, Inspektor Jeneral Setyo Wasisto berkata, hasil siasatan di tempat kejadian polis menemui resit pembelian periuk bertekanan tinggi dalam poket seluar salah seorang daripada dua penyerang bunuh diri itu.

“Dalam siasatan awal di tempat kejadian, kami menjumpai resit dalam poket seluar salah seorang penyerang bertarikh 22 Mei dari sebuah mini market di Padalarang, Jawa Barat,” katanya, hari ini.

Serpihan bahan letupan yang berselerak di tempat kejadian juga menunjukkan penyerang menggunakan bom periuk bertekanan tinggi.

“Daripada bahagian yang tertinggal, menunjukkan ia adalah bom periuk bertekanan tinggi, sama dengan yang kami temui di Bandung,” katanya.

Walaupun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci kejadian jam 10 malam semalam, beliau mengesahkan bahawa serangan itu dilakukan oleh dua individu di tempat dan masa yang berbeza.

Tubuh penyerang juga hampir hancur, tetapi kedua-duanya adalah lelaki. 

Identiti kedua-duanya perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum mereka dikaitkan dengan mana-mana pertubuhan pengganas atau militan. Polis Indonesia bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan militan IS ada kaitan dalam serangan itu. – Agensi


Tiada ulasan: