Khamis, 25 Mei 2017

PAS, PKR lega Sultan Selangor mahu exco dikekalkan

 
Exco Iskandar Abdul Samad berkata ia akan menamatkan spekulasi tentang status mereka dalam kerajaan negeri.


Iskandar-Abdul-Samad-pas-selangor-3


SHAH ALAM: PAS dan PKR hari ini melahirkan rasa lega selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mahu 3 exco PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri dikekalkan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Exco Datuk Iskandar Abdul Samad berkata ia akan menamatkan spekulasi tentang status mereka dalam kerajaan negeri.

“Dengan titah Tuanku, kita kini boleh tumpu bekerja dan berkhidmat kepada rakyat kerana itu yang kita lakukan sejak dipilih pada 2013,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah sebuah projek pembangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Sleangor di Seksyen 24 di sini.

Iskandar menambah sebagai Adun mereka mesti mengekalkan kestabilan negeri.

Awal hari ini, Sultan Sharafuddin dalam kenyataan bersetuju dengan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengekalkan “status quo” dalam kerajaan negeri selepas membincangkan penamatan kerjasama antara PAS dan PKR.

Menurut kenyataan itu, Azmin bertemu sultan dan memaklumkan mengenai keadaan semasa kerajaan negeri. Pesuruhjaya PAS negeri Sallehen Mukhyi juga bermesyuarat dengan sultan dan 3 exco terbabit.

Azmin, yang turut hadir di majlis pecah tanah itu, bersukacita dengan kemahuan Sultan Sharafuddin.

“Ini menunjukkan sultan mendengar suara rakyat yang mahu pemimpin mematuhi mandat yang diberikan kepada mereka pada pilihan raya umum lepas,” katanya.

Beliau juga memberitahu individu tertentu supaya menghentikan spekulasi mengenai kerajaan negeri.

Pada 11 Mei lepas, Majlis Syura Ulama PAS meluluskan keputusan muktamar pada 30 April untuk menamatkan “tahaluf siyasi” dengan PKR.

Keputusan itu mendorong kepada desakan supaya Adun PAS meletak jawatan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata exco mereka tidak akan berganjak kecuali diarah berbuat demikian oleh Sultan Sharafuddin.

Tiada ulasan: