Khamis, 25 Mei 2017

Mana bukti saya dalang jatuhkan Muhyiddin, soal Hamidah

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman menafikan kononnya beliau adalah dalang utama yang mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan selaku presiden parti.
 
Jelas Hamidah, dakwaan berkenaan merupakan satu tuduhan liar yang tidak adil kerana ianya tidak diiringi dengan bukti yang sahih.
 
"Saya rasa tidak adillah untuk menuduh saya tanpa bukti. Kecuali dalam isu ini semua orang ada perasaan dia sendiri dan bukan semua saya boleh kawal dan tindakan-tindakan mereka itu pun bukanlah tindakan yang saya atur ataupun saya susun.
 
"Saya rasa perlu adil dengan saya lah. Kalau mahu buat apa-apa tuduhan eloklah disiasat betul-betul. Panggil saya menghadap, tanya apa ceritanya, barulah adil.
 
"Benda itu satu pertuduhan liar yang dan bukan kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan PPBM," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Terdahulu, sebuah portal yang memetik sumber melaporkan Hamidah dikenalpasti sebagai dalang utama yang mendesak supaya Muhyiddin melepaskan jawatan presiden parti.
 
Sumber yang tidak dinamakan memberitahu portal itu, rasa tidak puas hati dan dendam Hamidah terhadap Muhyiddin didakwa berpunca kerana tidak dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan PPBM Perak.
 
Terdapat juga desas-desus yang mengatakan pimpinan tertinggi sudah mula memerhatikan tindak-tanduk Hamidah dan tindakan disiplin akan dibuat dalam masa terdekat kerana dianggap menyerang parti.
 
Dalam pada itu, Hamidah menyifatkan dakwaan yang dilemparkan kepadanya bakal mengeruhkan lagi keadaan ekoran parti serpihan Umno itu kini dilatari konflik dalaman.
 
Bulan lalu, salah seorang pengasasnya, Kamarulazman Habibur Rahman bertindak keluar parti kerana mendakwa kecewa dengan hala tuju parti yang terpesong, selain amalan 'kasta' dalam parti itu.
 
Terbaru, pada Selasa lalu, Exco Srikandi PPBM, Zulaiha Sidek mengambil keputusan meletakkan jawatan kerana mendakwa sudah muak dengan kemelut dalaman yang melanda parti.
 
Turut mengumumkan peletakan jawatan ialah Ketua Srikandi Penaja PPBM Bahagian Gopeng, Aflatuniah Md. Norani.
 
Malah baru-baru ini wujud pula desakan agar Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai presiden selepas berlakunya kepincangan dalaman parti.
 
 

Tiada ulasan: