Jumaat, 26 Mei 2017

Kurang ilmu punca isteri dizalimi

Dera isteri
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kurangnya ilmu pengetahuan mengenai hak seorang isteri dan prosedur di mahkamah menjadi antara punca utama golongan wanita terus teraniaya dan dizalimi dalam perkahwinan.

Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, seorang wanita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan kesedaran mengenai hak masing-masing untuk bertindak apabila diri mereka dizalimi.

“Sebagai contoh, satu kes seorang isteri didera fizikal oleh suami sejak hari pertama dinikahi di usia 20 tahun dan berlarutan hingga usia 60 tahun.

"Apa yang menyedihkan si isteri tidak mengetahui dirinya wajar membuat aduan dengan memfailkan tindakan di mahkamah sebaliknya redha dizalimi dan didera suami, dengan anggapan kesabaran tersebut membawa hikmah,” katanya.

Namun, menurutnya, semua perlu sedar Islam melarang isteri dianiaya dan dikasari malah, objektif utama ALLAH SWT menyuruh hambanya membina keluarga adalah untuk mendapatkan sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (kebahagiaan) dalam rumah tangga.

“Sekiranya dizalimi dan didera, objektif sebuah perkahwinan tidak dicapai. Isteri wajar bertindak berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada,” katanya.

Menurut beliau, hak seorang isteri di bawah undang-undang secara substantif di bawah Seksyen 53 memberi hak kepada seorang isteri yang dizalimi oleh isteri untuk memohon kepada mahkamah untuk membubarkan perkahwinan atas alasan didera.

Selain itu, tambahnya, seorang isteri juga mempunyai beberapa hak selepas penceraian termasuk hak nafkah idah, tunggakan nafkah, mutaah, harta sepencarian, dan hak penjagaan anak.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap agensi agama berkaitan untuk memberi pendedahan, ilmu pengetahuan dan sokongan kepada orang awam tentang ilmu alam perkahwinan dan perceraian agar masalah ini dapat ditangani.

Tiada ulasan: