Rabu, 24 Mei 2017

KPN: Budaya bermewah bukan punca rasuah

 
Khalid berkata bermewah bukan budaya diamalkan polis malah percaya perkara itu tidak berlaku
 
 
khalid-abu-bakar_polis_6001


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan budaya berbelanja besar bagi menyambut ketibaan pegawai atasan sebagai punca berlakunya amalan rasuah di kalangan anggota polis.

“Ia bukan budaya yang diamalkan polis malah percaya perkara itu tidak berlaku.

“Saya tidak yakin perkara (belanja mewah untuk pegawai atasan) itu berlaku. Apa-apa pun, kita akan kaji dan pastikan perkara ini tidak berlaku lagi.

“Memanglah kita melawat, berkunjung dan makan-makan tetapi itu tidak menjurus kepada perkara mewah. Budaya itu bukan budaya dalam PDRM,” katanya.

Kenyataan beliau itu bagi mengulas isu penahanan beberapa anggota polis termasuk pegawai kanan berhubung kes rasuah dan kaitannya dengan pelaksanaan rombakan besar-besaran di peringkat dalaman terhadap anggota polis yang kini dalam fasa pertama.

Menurut Khalid, rombakan itu dilakukan bagi memastikan tiada lagi salah laku yang membabitkan anggota polis pada masa hadapan.

“Banyak yang diperkatakan mengenai apa yang berlaku di Melaka. Saya menerimanya dengan perasaan positif dan kita akan ambil langkah perbetulkan keadaan.

“Pusingan pertama (rombakan) kita sudah lakukan, beberapa arahan lain juga akan dibuat,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Khalid juga akan turun ke Melaka Jumaat ini bagi melawat kontinjen di Melaka dan mendengar sendiri luahan warga polis.

Pada 15 Mei lalu, polis mengumumkan bakal melakukan rombakan besar-besaran terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan penangkapan 16 anggota.

Malah, seorang pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kini ditahan reman selama 7 hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berkaitan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka.

Lelaki berusia 49 tahun itu merupakan ketua bahagian siasatan jenayah daerah Melaka Tengah adalah individu ke-12 ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Khalid turut menasihatkan mana-mana anggota polis atau masyarakat luar yang mempunyai maklumat tentang salah laku anggotanya untuk tampil ke depan.

“Kepada warga PDRM, jika berlaku perkara sedemikian, laporkan kepada kita. Tidak perlu perkenalkan diri, ia juga boleh dilakukan melalui telefon dan secara atas talian jika tidak mahu dikenali.

“Saya juga alu-alukan rakyat Malaysia melaporkannya melalui platform media sosial mengenai salah laku warga PDRM,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: