Khamis, 25 Mei 2017

Ketepi Najib, Dr Mahathir lebih layak jadi PM, kata pembaca Mkini

MALAYSIAKINI
Ketepi Najib, Dr Mahathir lebih layak jadi PM, kata pembaca Mkini
Selepas kajian Invoke semalam mendedahkan Najib masih jadi pilihan sebagai perdana menteri, kajian Malaysiakini pula mendedahkan Dr Mahathir antara pesaingnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli,
 
PENGUNDIAN sebuah portal berita dalam talian mendedahkan ramai pembacanya mahukan mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kembali memegang jawatan lamanya itu.

Malaysiakini melaporkan yang 8,926 (69.9%) daripada 12,777 mengundi Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan.

Hanya 3,276 (25.6%) tidak bersetuju, sementara selebihnya mengatakan mereka “tidak pasti” atau “tidak peduli” dalam pengundian itu, yang dilakukan selama enam hari bermula 19 Mei.

Pengundian itu dijalankan dalam tiga bahasa. Mereka yang membalas dalam Bahasa Inggeris adalah mereka yang paling menyokong Dr Mahathir. Setinggi 76.6% mereka mahukan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu dilantik kembali sebagai perdana menteri.

Dalam pengundian Bahasa Malaysia, 68.8% mengundi Dr Mahathir dan hanya 51% pengundi Bahasa Cina memilih politikus berusia 92 tahun itu.

Malaysiakini melaporkan yang keputusan pengundi Cina mungkin ada kaitan dengan apa yang dilakukan dan dikatakan Dr Mahathir semasa dia menjadi perdana menteri sebelum ini.

Salah satu isu ialah rayuan pilihan raya Suqiu. Selepas menerima rayuan itu, yang termasuk penilaian semula Dasar Ekonomi Baru, Dr Mahathir mengaitkan pergerakan itu kepada komunis, selepas pilihan raya 1999.

Veteran DAP Lim Kit Siang juga mengecam Dr Mahathir dalam isu itu pada 2000. Kedua-dua mereka sudahpun mengenetepikan perbezaan untuk bekerjasama dalam PH.

Malaysiakini juga berkata yang mungkin pembaca Cina gemarkan pemimpin yang sedang dipenjarakan Anwar berbanding Dr Mahathir.

Dengan pilihan raya umum yang bakal menjelang, PH berdepan desakan untuk menamakan calon perdana menterinya.

Semalam, Invoke Centre for Policy Initiatives (I-CPI) juga mendedahkan hasil kajiannya tentang populariti Perdana Menteri Najib Razak dan pemimpin pembangkang lain untuk memegang jawatan tertinggi negara itu.

Kajian itu mendapati yang Najib masih dimahukan untuk jawatan itu.

Ia mendapati yang 31% daripada 17,962 pengundi mahukan Najib sebagai perdana menteri selepas pilihan raya akan datang berbanding hanya 8.1% yang mahukan Anwar.

Antara pemimpin parti pembangkang, Anwar ialah calon paling digemari berdasarkan jawapan responden kepada soalan pemimpin PH manakah mereka mahukan sebagai perdana menteri akan datang.

Di tempat kedua ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang sementara Dr Mahathir menduduki tempat ketiga

Tiada ulasan: