Khamis, 25 Mei 2017

Kajian 'syok sendiri' buat PKR lebih kerja keras - Abdullah Sani

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tanggapan 'syok sendiri' oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kajian badan berkaitan PKR, Invoke, berhubung calon Perdana Menteri akan dibuktikan dengan kerja keras.
 
Demikian menurut pemimpin PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dalam responnya terhadap sindiran bekas perdana menteri itu berhubung kajian Invoke Malaysia, yang merumuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon pilihan penyokong pembangkang untuk diangkat sebagai perdana menteri.
 
"Lagi Dr Mahathir cakap begitu, lagi kita bekerja keras, turun kepada rakyat, menunjukkan 'syok sendiri' itu akan menjadi kenyataan," katanya kepada Antarapos.
 
Terdahulu Dr Mahathir menyindir hasil kajian Invoke Malaysia berkaitan calon perdana menteri paling popular untuk PRU14 sebagai 'syok sendiri'.
 
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menyifatkan kajian badan bebas di bawah seliaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli itu tidak memberi makna sekiranya pembangkang gagal membuktikan kemenangan mereka.
 
Rafizi, pada semalam mengumumkan hasil kajian Invoke yang mendapati bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menjadi pilihan berbanding pemimpin Pakatan Harapan (PH).
 
Kajian yang dilakukan terhadap 17,962 orang responden mendapati 31 peratus memilih Najib, 28.5 peratus memilih calon dari PH manakala 6.1 peratus memilih Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Dalam pada itu, daripada lapan calon pemimpin PH, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan utama di kalangan penyokong pembangkang untuk menjadi perdana menteri.
 
Mengulas lanjut, Abdullah Sani percaya hasil kajian badan bebas itu memberi kesan positif kepada PKR selain yakin Anwar sebagai individu paling layak menjadi perdana menteri.
 
"Hendak meletakkan kekuatan kita itu memerlukan kajian, dan kajian itu adalah harapan rakyat. Apabila melihat harapan rakyat banyak melebihi kita, maka kita yakin jentera kita perlu melipat-gandakan kerja bagi memutlakkan kemenangan.
 
"Ikut sejarah Anwar, beliau telah diuji, diduga dan diberikan pelbagai permasalahan, sehingga beliau pernah digelar sebagai menteri kewangan terbaik di dunia. Isu kini adalah kos sara hidup. Siapa mampu menerajui negara dalam konteks membantu rakyat?," ujar Ahli Parlimen Kuala Langat itu lagi.
 
Kongres Nasional Tahunan PKR Kali ke-13 yang berlangsung hujung minggu lalu sepakat untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-7, selain Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri sementara.
 
 

Tiada ulasan: