Jumaat, 26 Mei 2017

Jangan cantas dahan pohon ini

DR AZMAN IBRAHIM





PAS ibarat sepohon kayu besar di tengah padang yang luas. Usia pohon yang berjasa ini telah mencecah 66 tahun. Teguh berdiri memberikan manfaat kepada manusia dengan naungan teduhan dan buahan yang dihasilkannya untuk dinikmati.

Walau ditimpa kemarau, hujan, banjir, ribut petir dan serangan makhluk perosak, pohon ini terus gagah berdiri. Ada daun-daun lama yang gugur, diganti dengan pucuk baru yang segar. Ada dahan yang patah, tumbuh semula tunas baru yang menjadikan pohon ini lebih rendang.  Ada tangan-tangan jahat yang mencantas dahannya dengan sangkaan pohon ini akan mati. Tapi mereka silap kerana tindakan mencantas satu dahan akan menyebabkan tumbuhnya tiga atau empat tunas baru yang muda dan segar.

Selama 66 tahun akarnya terpacak kukuh ke bumi dan pucuknya menjulang tinggi serta saiz batangnya semakin membesar, ramai yang memandangnya mula mengkagumi keperkasaan dan keteguhan pohon ini. Dulu dimomokkan supaya jangan dekat kerana kononnya pohon ini berhantu. Ramai juga yang percaya lalu memandangnya dengan penuh rasa cuak dan curiga. Sekarang ramai yang rasa rugi kerana tak singgah berteduh lebih awal di bawah bayangan pepohon rendang ini dan menikmati kemanisan buahnya. Bila dah singgah sendiri, baru mereka tahu rupanya realiti tidak begitu.  Silakan singgah dan makanlah buahnya.


Dr Azman
Dulu ada sekumpulan anai-anai yang cuba bersarang di dalam lubang yang dikorek pada batangnya. Sedikit demi sedikit dikorek lubang dengan sangkaan akhirnya pohon ini akan tumbang. Tapi akhirnya kumpulan anai-anai yang berangan-angan besar pergi dengan kehampaan dan mencari pepohon baru untuk dibuat sarang. Dah tabiat anai-anai, di mana bersarang maka di situlah ia akan merosakkan.

Hari demi hari dan masa yang beredar, manusia sekeliling semakin melihat perlunya pohon ini dipertahankan kewujudannya agar terus teguh dan berkesinambungan memberikan kesejahteraan kepada manusia. Pantang diusik maka akan ada tangan-tangan yang tampil mempertahankannya. Silap kalau ada yang anggap pohon besar ini tak ada tuan. Kamu boleh singgah, boleh berteduh dan boleh makan buahnya, tapi awas! Jangan sekali-kali ganggu dan rosakkannya.


 Jangan bandingkan pohon besar ini dengan pokok bunga di dalam pasu. Memang pokok bunga di dalam pasu yang berbunga oren dan merah nampak cantik dipandang. Tapi usianya tak panjang. Cuba ambil pokok bunga ini dan tanam di tengah padang yang luas terdedah kepada panas, hujan kemarau, rebut petir dan serangan perosak. Tengok berapa lama ia boleh hidup. Yang indah di mata tak semestinya bagus. - HARAKAHDAILY  

* Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.


Tiada ulasan: