Jumaat, 26 Mei 2017

Jabatan Agama Islam negeri harus utamakan keselamatan murid tahfiz


Oleh
 
Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan pelbagai peristiwa berkenaan dengan keselamatan di sekolah tahfiz terutamanya yang melibatkan penderaan terhadap pelajar-pelajar.

Di antaranya adalah kes Mohamad Thaqif Amin dari Johor dan kes di Darul Tahfiz Ummul Qura Shah Alam, Selangor. Kes-kes penderaan yang berlaku harus dipandang serius dan tidak boleh diulangi lagi.

Sebagai sebuah institusi yang berperanan memartabatkan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh Malaysia hendaklah memainkan peranan yang sangat tinggi demi membanteraskan penderaan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah tahfiz.

Saya berasa amat sedih dan kecewa apabila kenyataan yang dilaporkan media bahawa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) menyatakan bahawa mereka tidak ada bidang kuasa untuk mengambil tindakan terhadap kes-kes penderaan yang telah berlaku.

Ini adalah isu serius yang patut diambil perhatian. Oleh itu, sebuah pelan jangka panjang yang mengandungi peraturan dan syarat harus dirangka oleh pihak jabatan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada. Ini termasuk memberikan kaunseling kepada pelajar, tenaga pengajar dan staf daripada sekolah-sekolah tahfiz.

Panduan disiplin terhadap para pelajar juga harus dirangka dengan baik demi memastikan tidak ada lagi penyalahgunaan kuasa oleh pihak pentadbir sekolah yang berkemungkinan akan mengakibatkan kecederaan.

Islam itu bukan hanya pada subjek pendidikan sahaja akan tetapi Islam itu datang dengan sebuah pakej. Untuk mengambil isu keselamatan pelajar-pelajar bagai acuh tidak acuh adalah sesuatu yang tidak islamik.

Justeru, adalah tanggungjawab kita sama-sama untuk digalas dan mengambil iktibar daripada insiden-insiden yang sudah berlaku. Keselamatan dan persekitaran harus menjadi kondusif di sekolah-sekolah tahfiz tanpa mengira kerajaan atau swasta.

Sebagai sebuah badan yang menerima peruntukan daripada kerajaan negeri termasuk JAKIM.

Tanggungjawab pihak jabatan agama Islam negeri adalah untuk pembangunan agama Islam di negeri masing-masing, dan keutamaan harus diberikan kepada pembangunan insaniah dan memastikan persekitaran yang selamat bagi semua yang terlibat.

Pihak jabatan agama Islam negeri harus sedar dan faham bahawa insiden-insiden yang disebutkan tadi merupakan sesuatu yang serius, dan ia akan memberikan persepsi negatif terhadap agama Islam secara menyeluruh.

Saya seru agar pihak jabatan mengambil inisiatif untuk menambahbaik pentadbiran Islam di negeri masing-masing dan memberikan keutamaan kepada persekitaran positif, persepsi masyarakat umum terhadap Islam akan mengubah dengan drastik.

Kita harus sedar bahawa Ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz ini membawa satu harapan. Harapan ini adalah agar anak-anak mereka dapat mempelajari pendidikan Islam secara menyeluruh, teori dan praktikal.

Nilai-nilai murni kemanusiaan juga dititikberatkan dengan harapan, suatu hari kelak mereka pula memegang baton yang telah diberi oleh ibubapa dan juga masyarakat untuk berbakti kepada tanah air. – Roketkini.com

*Muhammad Shakir Ameer adalah Ahli Majlis MBSA dan juga Setiausaha Eksekutif Sosialis Muda DAP


Tiada ulasan: