Rabu, 24 Mei 2017

Hubungan PAS-PKR dalam kenangan

 
Untuk melemahkan parti pembangkang, caranya mudah iaitu hancurkan Pakatan Rakyat. Pertama, pecahkan hubungan antara PAS dengan DAP. Ke-2, pecahkan hubungan antara PAS dengan PKR.
 
 
pas_pkr_600


Hujung minggu lalu, PKR mengadakan kongres tahunannya dalam suasana kerajaan negeri Selangor yang pimpinannya diancam dengan ketidakstabilan ekoran tindakan PAS memutuskan hubungannya dengan parti itu. Tetapi tidak pernah terfikir sebelum ini, tokoh yang menjadi punca lahirnya PKR, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri kongres itu.

PAS memutuskan hubungannya dengan PKR seminggu sebelumnya melalui muktamarnya. Kata-kata kecaman oleh perwakilan PAS dilemparkan kepada PKR. Ia merupakan suatu perkembangan yang mengharukan perasaan banyak pihak, baik dalam PKR mahupun PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah). Siapa sangka hubungan yang bermula pada 1998 dengan penuh perasaan persaudaraan tamat begitu saja.

Mungkin bagi sebahagian pemimpin PAS dan perwakilan muktamar atas sebab-sebab tertentu mempunyai perasaan marah kepada PKR, tetapi bagi aktivis yang berjuang bersama, terutama ketika pilihan raya berasa sayu apabila melihat kesudahan hubungan kedua-dua parti itu.

Sebahagian daripada bekas aktivis PAS yang kini berada dalam Amanah akan terus bekerjasama dengan PKR dalam gabungan Pakatan Harapan, tetapi tentulah kemeriahan semasa Pakatan Rakyat wujud tidak dapat diulangi. Kini, PKR dan Amanah terpaksa berdepan bukan saja Barisan Nasional (BN), tetapi juga PAS.

Usaha PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berunding dengan PAS supaya pembangkang hanya mengemukakan seorang calon bagi setiap kawasan untuk menentang BN telah gagal. PAS tetap tidak mahu berpakat dengan DAP dan Amanah.

PAS tolak Anwar

PKR merupakan parti hasil daripada gerakan Reformasi yang dilancarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 ketika beliau dipecat Dr Mahathir. Pada masa itu, PAS dipimpin Datuk Fadzil Noor.
Sebelum gerakan Reformasi itu, para penyokong PAS menolak Anwar yang ketika itu adalah timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

PAS telah menentang Anwar sejak beliau menyertai Umno pada 1981. Ramai penyokong PAS kecewa dengan penyertaan Anwar dalam Umno. Ini kerana beliau yang ketika itu memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) disebut-sebut akan menggantikan Tan Sri Asri Muda untuk memimpin PAS. Beliau diharapkan akan menjadikan PAS sebagai parti Islam yang progresif.

Ketika Anwar mengetuai Abim, Fadzil adalah timbalannya sebelum beliau menyertai PAS. Pada 1976, ketika Anwar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), saya turut mengedarkan risalah di Masjid Negara yang ditulis Fadzil selaku timbalan presiden Abim menuntut kerajaan membebaskan Anwar. Ketika itu, Dr Mahathir ialah timbalan perdana menteri.

Pada pilihan raya umum 1982, BN menang besar dan PAS kalah teruk. Anwar telah membantu kemenangan Umno. Malah, kerusi Permatang Pauh yang merupakan kawasan PAS telah dirampas Anwar.

Jadi, PAS menentang Anwar pada pilihan raya umum 1982, 1986, 1990 dan 1995. Gagasan Kepimpinan Ulama menyaksikan penguasaan PAS oleh ulama muda bermula 1982. Mereka yang berperanan ialah Yusof Rawa, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Fadzil, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nakhaie Ahmad. Di bawah mereka, PAS melakukan kerjasama politik atau tahaluf siyasi.

Pada 1986, ia membentuk Harakah Keadilan Rakyat (HAK) dan pada pilihan raya umum 1990, ia membentuk Angkatan Perpaduan Ummah. Kaedah ini mendatangkan hasil apabila PAS dapat menguasai Kelantan pada 1990.

PAS sokong Anwar, gerakan Reformasi

Apabila Anwar dipecat, Fadzil tidak teragak-agak dalam memberikan sokongan kepada beliau. Beliau membawa PAS menyokong gerakan Reformasi Anwar yang pada mulanya diusahakan dalam bentuk gabungan Pergerakan Keadilan Rakyat (Gerak) yang dianggotai parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO). Salah sebuah parti yang terlibat ialah PAS.

Kemudian para penyokong Reformasi menubuhkan NGO bernama Pergerakan Keadilan Sosial (Adil). Penyokong PAS tidak teragak-agak memberi sokongan kepada Adil walaupun kebanyakan anggota gerakan Reformasi adalah bekas ahli Umno.

Ketika meletusnya gerakan Reformasi itu, lidah rasmi PAS, Harakah memberi liputan meluaskan mengenai Anwar dan perjuangan Adil. Jualan Harakah meningkat dengan mendadak. Ia bukan saja mendapat sambutan daripada penyokong PAS, tetapi juga orang ramai yang bersimpati kepada Anwar dan gerakan Reformasi.

Pada 1998, seorang wartawan PAS, Ahmad Lutfi Othman mengambil alih majalah Detik dan menjadikannya wadah bagi menyalurkan aspirasi perjuangan Reformasi. Majalah itu mendapat sambutan hebat. Saya diberikan satu kolum dalam majalah itu. Dalam keluaran sulungnya itu, saya mencadangkan Adil dijadikan sebuah parti politik supaya perjuangan Reformasi dapat digerakkan melalui proses demokrasi walaupun Anwar dipenjarakan.

Pembentukan Barisan Alternatif

Dilaporkan kedua-dua Fadzil dan Dr Syed Husin Ali menawarkan PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk menjadi platform bagi gerakan Reformasi Anwar. Namun begitu, penyokong yang juga terdiri daripada tokoh NGO seperti Abim dan Jamaah Islah Malaysia (JIM) bertindak menubuhkan parti mereka sendiri, iaitu Parti Keadilan Nasional.

Setelah mengalami rintangan, mereka mengambil alih parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang ditubuhkan pada 1991 untuk menjadi Keadilan. PAS memberi sokongan penuh kepada Keadilan.
Bersama PRM dan DAP, mereka menyertai pilihan raya umum 1998 sebagai Barisan Alternatif.

PAS meraih keuntungan politik besar dengan memberi sokongan kepada Keadilan. Bukan saja PAS menang besar di Kelantan, tetapi juga berjaya menawan Terengganu. Hadi menjadi menteri besar Terengganu dan Fadzil dipilih sebagai ketua pembangkang.

Kerjasama para aktivis PAS dan Keadilan dalam pilihan raya adalah baik. Sebagai parti yang lebih lama dan mempunyai budaya aktivisme Islam, PAS dapat menawarkan jentera pilihan raya yang
 lebih kemas berbanding Keadilan.
Namun begitu, dalam pilihan raya itu, DAP kehilangan kerusi yang difikirkan berpunca daripada kerjasamanya dengan PAS. Ekoran itu, DAP keluar daripada Barisan Alternatif pada 2001.

Fadzil meninggal dunia pada 2002. Hilanglah seorang sahabat Anwar dan tokoh utama persaudaraan antara PAS dan Keadilan. Tetapi Mursyidul Am PAS, Nik Aziz yang memegang jawatan itu sejak 2000 adalah penyokong kuat persepakatan PAS dan Keadilan.

Bagaimanapun, Keadilan sendiri mengalami pergolakan politik dalaman. Ada di antara pemimpin dan aktivisnya, terutama di kalangan anggota Abim dan JIM meninggalkan Keadilan dan menyertai PAS.

Kelahiran PKR

Ahli-ahli PAS menyambut baik penyertaan mereka. Untuk mengukuhkan Keadilan, Anwar menggesa penggabungan parti itu dan PRM, maka lahirlah PKR pada 2003. Pada tahun sama, Dr Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri. Perjuangan PKR untuk menjatuhkan Dr Mahathir sudah tidak relevan.

Pada pilihan raya umum 2004, kerjasama antara Barisan Alternatif dengan DAP bukan saja tidak dapat diadakan, tetapi hubungan antara PAS dengan PKR juga mengalami pergeseran. Cadangan PKR menurunkan Syed Husin sebagai calonnya di Kota Bahru yang dianggap kawasan selamat untuknya ditolak Nik Aziz.

Pada pilihan raya umum 2004, berlaku pertandingan 3 penjuru. Bukan sahaja PKR kehilangan banyak kerusi yang diperolehi pada 1999, tetapi PAS sendiri kehilangan Terengganu. Tetapi pada tahun itu, Anwar dibebaskan dari penjara.

Hubungan PAS, PKR dan DAP

Menjelang pilihan raya umum 2008, Anwar telah berusaha menjalin kerjasama baik antara PAS dan PKR. Walaupun DAP tidak mahu bekerjasama dengan PAS, tetapi ketiga-tiga parti itu dapat menampilkan gelanggang satu lawan satu pada pilihan raya umum 2008.

Di merata-rata tempat, aktivis PAS yang dilihat lebih cergas berbanding PKR dan DAP, bukan sahaja memikul bendera PKR, tetapi juga DAP. Ini menarik perhatian besar kerana tiada hubungan prinsip antara PAS dan DAP.

Walaupun DAP bimbang dengan konsep Negara Islam, tetapi aktivis PAS tidak takutkan DAP. PKR juga memberi kawasan kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk ditandingi dengan menggunakan lambang PKR.

Pilihan raya umum 2008 memberikan kemenangan paling besar kepada parti-parti pembangkang dalam sejarah Malaysia. Anwar menjadi ketua pembangkang menyatukan PKR, PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Selepas pilihan raya umum itu, para strategis BN dipercayai duduk berbincang dan mencari jalan bagaimana caranya untuk melemahkan pihak pembangkang. Caranya mudah. Hancurkan Pakatan Rakyat. Pertama, pecahkan hubungan antara PAS dengan DAP. Ke-2, pecahkan hubungan antara PAS dengan PKR.

Kini, Pakatan Rakyat sudah tiada. Hubungan PKR-PAS juga hanya tinggal kenangan.

Tiada ulasan: