Khamis, 25 Mei 2017

Dua legasi Tun M – Proton, Putrajaya – dapat perhatian hari ini

ISMA WEB
 


AKHIRNYA, tergadai juga maruah dan kebanggaan kita di tangan China. Bukan sahaja China bangkit merebut pingat dan piala pada kejohanan Badminton dunia, malah tanah kita juga kini mereka miliki. Sekarang, kereta kita pun dimilikinya.

Hari ini, konglomerat negara, DRB-Hicom telah bersetuju menjual pegangannya dalam Proton sebanyak 49.9 peratus kepada pengeluar kereta China – Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd (Geely).

Apakah secara kebetulan – Proton yang diasaskan pada 1983 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, dijual di Putrajaya, pusat pentadbiran negara yang juga dibangunkan oleh Tun Dr Mahathir? Atau hanya imaginasi Pedang melangkaui dua tiga hasta untuk mengatakan “nah.. lihatlah… kamu yang mengasaskan Proton, kamu yang mendirikan Putrajaya. Majlis menjual Proton pun dibuat di Putrajaya..”

Pedang tidak membantah kemasukan pelabur ke Malaysia. Datanglah..Laburlah sebanyak mana yang dikehendaki.

Pedang juga perlu melihat langkah penjualan saham Proton itu secara positif. Itupun, sekiranya pihak pengurusan DRB-Hicom dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak sudah tiada inisiatif atau cara lain, untuk membantu syarikat kereta nasional itu menyelesaikan masalahnya.

Kita akui sedikit sebanyak Proton boleh hidup sekejap selepas kerajaan Najib setuju menyuntik RM1.5 bilion bantuan tahun lalu, dengan syarat ia melakukan pelan pemulihan dan mencari rakan kongsi luar negara. Tetapi, cukupkah jumlah itu berbanding berbilion-bilion ringgit yang dilesapkan oleh pihak tertentu dalam skandal paling besar sejarah kewangan Malaysia menerusi dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tidak salah juga, sekiranya jual beli hari ini mampu melonjakkan semula nama kereta nasional, khususnya ke pesada global. Lagipun Lotus Cars di Britain jarang sekali kita temui di jalan atau lebuh raya di Malaysia – kurang mendapat sambutan.

Geely pula adalah sebuah firma pengeluar kereta yang besar yang turut menguasai Volvo keluaran Sweden, London Taxi Company dan syarikat induk kepada Geely Automobile Holdings Ltd berpangkalan di Hong Kong. Mempunyai prestasi yang cemerlang.

Mac lalu, Geely, melaporkan pendapatan syarikat itu bagi tahun lalu melonjak 126 peratus kepada 5.1 bilion yuan (AS$739 juta), tertinggi dalam tempoh sembilan tahun.

Pendapatan Geely melonjak 78 peratus kepada 53.7 bilion yuan selepas kumpulan itu menjual 765,970 kenderaan sepanjang tahun lalu – meningkat 50.2 peratus berbanding tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 744,191 unit dijual di dalam negara.

Apa yang Pedang hendak peringatkan kepada rakyat, khususnya bangsa Melayu, supaya jangan mudah menggadai maruah, harga diri dan tanah yang kita miliki ini kepada orang asing.

Yang penting, jangan mudah terpedaya dengan muslihat dan ‘janji untuk menanam tebu tetapi hanya dibibir sahaja’. Dua projek besar beratus bilion ringgit yang dijanji dibangunkan oleh kerajaan dan syarikat China – Bandar Malaysia dan Forest City – sudah tertimbus. Dan, banyak lagi projek berbilion-bilion ringgit akan dibangunkan oleh China di Malaysia – setakat ini masih di atas kertas. 
(rujuk berita di bawah)

DRB-Hicom mesti memastikan anak tempatan akan terus kekal di kilang atau di mana-mana pusat yang menggunakan logo Proton – bukannya menyetujui reformasi mengurangkan pekerja, jika ada hasrat sedemikian oleh rakan kongsi baharu mereka itu.

Memetik kata-kata Tun Dr Mahathir Proton Holding mestilah tidak melupai vendor komponen kenderaan itu. Tindakan mengabaikan vendor Proton yang sedia ada akan menyebabkan peluang dan ruang syarikat tempatan bersaing semakin sukar.

“Kita takut, vendor kita, pembuat komponen akan hilang peluang untuk terus membekalkan kepada Proton hingga menyebabkan mereka terpaksa tutup. Kapasiti dan kepentingan dalam kejuruteraan automotif yang dimiliki anak tempatan akan berkurangan,” katanya.

Dan, dengan Proton Saga keluaran pertama kereta nasional menjadi kebanggaan pada 1985, walaupun tidak setanding Honda, Toyota, BMW atau Mercedes, ianya mengangkat maruah kita daripada negara pertanian kepada negara industri berat. Kewujudannya juga membuka ribuan peluang pekerjaan kepada anak tempatan, termasuk anak ahli dan penyokong PAS, serta syarikat vendor tempatan.

Namun, hari ini apakah legasi Tun Dr Mahathir di dalam Proton akan mula terpadam, sebagaimana Wawasan 2020 diganti dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Duit dijadikan raja, kehebatan 1MDB dijaja yang akhirnya memburukkan nama negara dan menjadi antara penyebab nilai ringgit jatuh.

Kata Pedang: Jika dulu Tun Dr Mahathir mengajak kita memandang ke Jepun, kini Najib memalingkan kita ke China. Apa lagi yang hendak kita jual kepada komunis?


Tiada ulasan: