Rabu, 24 Mei 2017

Dua ketua Srikandi Bersatu Perak letak jawatan

 BERNAMA

Bersatu Bersatu


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak terus bergolak apabila Ketua Srikandi Penaja Bahagian Batu Gajah, Zulaiha Sidiq dan Ketua Srikandi Penaja Bahagian Gopeng, Aflatuniah Md Noraini meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Peletakan jawatan kedua-dua individu itu juga kerana kecewa dengan pergolakan berlaku antara anggota Bersatu ketika ini yang gagal diatasi sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Zulaiha berkata peletakan jawatan yang dibuat turut melibatkan kedudukannya selaku Exco Srikandi Bersatu Malaysia dan ia dibuat secara rela hati tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

"Saya sudah muak dengan kemelut dan pergolakan dalaman dan peletakan kedua-dua jawatan tersebut membuktikan prinsip diri yang tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

"Pucuk pimpinan pusat dan negeri perlu memberi perhatian serius kerana jika tidak mereka akan tanggung risiko terhadap apa yang bakal terjadi," katanya dalam sidang media semalam.

Sementara itu, Aflatuniah ketika ditemui enggan mengulas lanjut berkaitan keputusannya meletak jawatan.

Pada 20 Mei lalu, Ketua Penaja, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar menggesa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan berikutan hilang kepercayaan selain kegagalan mengatasi kepincangan yang berlaku di peringkat pimpinan Bersatu Perak.

Bagaimanapun, keesokannya Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu mendakwa perkara itu sengaja direka-reka dan mendesak Azrul Suhadi membuat permohonan maaf secara terbuka selain meletak jawatan kerana bertindak di luar jangkauan.

Tiada ulasan: