Khamis, 25 Mei 2017

Amukan IS di Asia Tenggara dicetuskan pembunuhan Wanndy, kata menteri dalam negeri

THE MALAYSIAN INSIGHT


Amukan IS di Asia Tenggara dicetuskan pembunuhan Wanndy, kata menteri dalam negeri
Malaysia dalam tahap persediaan tertinggi menghadapi serangan keganasan terutama ketika negara bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Sea, Ogos nanti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal,
 

Serangan pengganas di Indonesia dan Thailand, selain daripada pertempuran yang tercetus antara tentera Filipina dan kumpulan pemberontak yang dikaitkan dengan Negara Islam (IS) di Mindanao adalah disebabkan kematian tentera IS warga Malaysia Wanndy Mohamed Jedi di Syria bulan lepas.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata maklumat perisikan mendedahkan wujud kaitan antara keganasan di rantau ini dengan pembunuhan pengganas warga Malaysia dalam serangan dron April lepas.

Dia berkata yang hasil risikan juga mendapati wujudnya jaringan IS dikenali sebagai “Katibah Nusantara” yang dianggotai pengganas rantau ini.

“Agensi perisikan mendapati apa yang berlaku di Selatan Thailand, Jakarta dan Mindanao ada kaitan dengan pembunuhan Wanndy, yang sebelum ini merupakan penyelaras Katibah Nusantara,” kata Zahid kepada Bernama hari ini.

Wanndy ialah perekruit atasan untuk IS dan ahli organisasi pengganas cawangan Malaysia-Indonesia, Majmu’ah al-Arkhabiliy. Dia juga ialah penyelaras IS Asia Tenggara.

Zahid memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak terus selesa kerana serangan pengganas boleh berlaku di mana sahaja, tetapi juga mendesak supaya rakyat mempercayai polis, yang mempunyai tahap kesediaan menghadapi tindakan keganasan “tahap tertinggi” terutama sekali ketika negara sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan dan akan diikuti Sukan Para Asean pada September.

“Pengeboman boleh berlaku di mana sahaja, di mana-mana dalam dunia dan Malaysia tidak terkecuali, dan (kemungkinan) mengalami peristiwa itu sekiranya rakyat tidak berhati-hati dan membiarkan (semata-mata) kepada pasukan keselamatan untuk bersedia.

Dia berkata yang agensi penguatkuasaan undang-undang sedang bekerjasama dengan organisasi luar seperti Aseanapol untuk memantau dan mengesan pergerakan pengganas di rantau ini.

Banyak negara di dunia dari Asia sehingga ke UK berada dalam keadaan amaran tertinggi ketika IS dan kumpulan berkaitan dengan IS melakukan serangan pengganas bertubi-tubi di Manchester, Jakarta, dan Bangkok minggu ini.

Selasa lepas, undang-undang tentera diisytiharkan di Mindanao, Filipina selepas pasukan keselamatan kerajaan bertempur dengan kumpulan pemberontak dikaitkan dengan IS di Bandar Marawi.

Pada hari yang sama, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di luar terminal bas yang sibuk di ibu kota Jakarta, Indonesia membunuh tiga pegawai polis dan mencederakan beberapa yang lain termasuk orang awam.

Dua puluh empat orang pula cedera apabila sebutir bom meletup di hospital Bangkok di Thailand pada hari Isnin.

Pada hari yang sama, 22 orang termasuk kanak-kanak berusia 8 tahun terbunuh dan 119 cedera dalam tragedi pengeboman berani mati sewaktu konsert Ariana Grande di Manchester.

Semua serangan dan pertempuran dikaitkan dengan IS, yang sudah mengaku bertanggungjawab atas serangan pengeboman di Manchester, dan mengancam akan melakukan lebih banyak serangan.

Tiada ulasan: