Ahad, 30 April 2017

Usul putus tahaluf siyasi Pas-PKR diterima tanpa bahas

Mohd Haizal Yatiran
Perwakilan dari Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Zulkifli Ismail bercakap pada sesi perbahasan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke 63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL,


ALOR SETAR- Seperti dijangka, Muktamar Pas hari ini menerima usul untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan sekutunya, PKR.

Disambut dengan laungan takbir, usul yang dibentangkan oleh perwakilan dewan ulama Pas itu disokong sebulat suara tanpa bahas.

Wakil Dewan Ulama, Zulkifli Ismail berkata, usul tersebut dibuat memandangkan PKR dikatakan telah menghinati perjanjian kerjasama antara kedua-dua parti itu sebelum ini.

“Penilaian tahaluf mestilah dibuat oleh Majlis Syura Ulama. Kini terdapat banyak pelanggaran syarat berlaku sepanjang tempoh berlangsungnya tahaluf siyasi.

“Penglibatan PKR menyokong calon Amanah dan menentang PAS dalam dua pilihanraya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, kegagalan PKR untuk memberi sokongan yang baik kepada usaha Pas memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355.

“Kenyataan-kenyataan pimpinan PKR secara terbuka yang jelas memperlihatkan keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap Pas sekaligus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan, maka kami mengusulkan supaya tahaluf siyasi antara Pas dan PKR diputuskan,” katanya lagi.

Usul tersebut akan diangkat ke Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: